jata kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
A- A A+
A  A Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq2 hubungi maklumbalas peta

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap lebih ramai pekerja dalam sektor ekonomi gig mendapat perlindungan keselamatan sosial menerusi Program PenjanaGig yang dikendalikan agensi itu.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sejak 1 Januari lalu, seramai 28,425 pekerja ekonomi gig direkodkan berdaftar dengan Perkeso.

Jumlah itu kata beliau hanyalah tujuh peratus daripada kira-kira 400,000 individu terbabit dengan ekonomi gig di negara ini berdasarkan unjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

"Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan dana padanan caruman platform ekonomi gig dan ia sudah dibuka sejak semalam (15 Jun 2020) untuk pendaftaran platform penyedia perkhidmatan gig di bawah Program PenjanaGig.

"Menerusi program ini, kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus dibayar oleh platform penyedia perkhidmatan.

"Kita harap program ini dimanfaatkan sebaik mungkin sepanjang permohonan dibuka sehingga akhir tahun depan bagi memastikan pekerja gig dilindungi sewaktu bekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Dr Mohammed Azman, kerajaan memperuntukkan geran berjumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig untuk membiayai caruman pekerja gig di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, menerusi Program PenjanaGig PERKESO, pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial SKSPS di bawah Pelan 2 dengan caruman RM232.80 secara percuma selama setahun.

"Daripada jumlah ini, kerajaan menyumbang sebanyak RM163 daripada caruman setahun Pelan 2 SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, sementara platform penyedia perkhidmatan menyumbang RM69.80.

"Antara faedah yang disediakan SKSPS Perkeso adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata, pekerja gig didefinisikan sebagai mereka yang menjalankan sesuatu tugas atau kerja melalui platform penyedia perkhidmatan dalam talian atau aplikasi digital untuk mendapat upah seperti GrabCar, FoodPanda, Lalamove, Bungkusit dan sebagainya.

Menurutnya, antara sektor yang mewakili pekerja ekonomi gig termasuklah sektor pengangkutan penumpang e-hailing, pengangkutan makanan dan barangan dan perniagaan dalam talian.

"Antara syarat kelayakan untuk bantuan PenjanaGig termasuklah bekerja secara aktif di bawah platform penyedia ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC," katanya lagi.

Platform penyedia perkhidmatan boleh berdaftar di bawah Program PenjanaGig melalui gig.perkeso.gov.my. Maklumat lanjut mengenai PenjanaGig boleh didapati dengan merujuk kepada Soalan Lazim di laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau menghubungi 1-300-22-8000 atau emel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Sumber : Harian Metro
Pautan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/590512/tujuh-peratus-pekerja-ekonomi-gig-berdaftar-dengan-perkeso