Rangkuman Acara - Agenda Sosial Fokus Utama Yours’17

YOurs17

 

KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER 2017 – Lima (5) cabaran utama berkaitan Agenda Sosial merupakan intipati utama ucapan YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin ketika merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2017 atau National Youth Research Seminar 2017 (YOURS’17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 6 November 2017 anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). Lima cabaran utama tersebut adalah Gejala Sosial Tradisional, Gaya Hidup Sedentari, Ketagihan Skrin, Isu Kesihatan Mental dan Belas Kasihan. Beliau menyatakan sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan penyelesaian terhadap lima (5) perkara tersebut bagi memastikan kesejahteraan belia Malaysia menjelang 2050.

Sementara itu, bertemakan Ke Arah Aspirasi Belia Masa Hadapan, YOURS’17 kali ini menyaksikan sebanyak 40 kertas penyelidikan telah dibentangkan berdasarkan sub-tema berikut:
a) Sosial Belia – 18 kertas kajian
b) Identiti Belia – sembilan (9) kertas kajian
c) Ekonomi – tujuh (7) kertas kajian
d) Kesihatan – tiga (3) kertas kajian
e) Pendidikan – tiga (3) kertas kajian

Beberapa resolusi telah dicapai semasa YOURS’17 antaranya berkaitan dengan penyerlahan potensi belia, memupuk sikap berintegriti bagi menangani tingkah laku belia berisiko, aktiviti-aktiviti belia bersama komuniti serta keterhubungan belia bersama masyarakat. Hasil pembentangan YOURS’17 akan diterjemahkan dalam bentuk penerbitan Malaysian Journal of Youth Studies (MJYS) Edisi Khas 2018 terbitan IYRES dan akan diedarkan kepada pembuat dasar dan polisi serta pelaksana yang bertanggungjawab dalam pembangunan belia.

Disediakan oleh:
Siti Nur Hidayah Ismail
sitinurhidayah[at]iyres.gov.my

Disunting oleh:
Zuarini Jumai
zuarini[at]iyres.gov.my