jata kbs Agency under the Ministry of Youth & Sports
A- A A+
A  A Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian

Kota Kinabalu, 26 Mac 2015 – Penyediaan laporan Indeks Belia Sabah 2014 (IBS’14) kini telah melangkah ke fasa akhir iaitu fasa penyediaan laporan akhir kajian. Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dijemput untuk membentangkan hasil pelaporan Indeks Belia Sabah 2014 yang buat julung kalinya dibangunkan di Negeri Sabah dengan mengenengahkan 12 domain sebagai tanda aras bagi mengukur kesejahteraan dan kualiti belia di Sabah. Pembentangan tersebut disampaikan oleh Y.Bhg. Dr. Wasitah Bt Hj Mohd Yusof, selaku Ketua Pegawai Eksekutif IYRES merangkap Ketua Penyelidik IBS’14 sempena Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah (MPBN) siri 1/2015 bertempat di Grand Ballroom Le Meridien Hotel, Kota Kinabalu. Seramai 120 orang terlibat dalam persidangan pada kali ini terdiri daripada Ahli Majlis Belia Sabah (MBS) dan 13 badan gabungan, agensi kerajaan, serta pemimpin-pemimpin belia.

Dalam sesi  pembentangan tersebut,  intipati penting yang ditekankan adalah berkaitan cadangan dan syor kepada Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah (MPBNS) dalam merangka Program Aspirasi Masa Depan berpaksikan 12 domain dan 55 indikator untuk mengukur kualiti hidup belia Negeri Sabah. Beliau turut menyatakan bahawa hasil penemuan IBS’14 menunjukkan skor bagi Indikator perpaduan dan Integriti dalam Domain Identiti Diri berada pada tahap yang sangat memuaskan. Keunikan masyarakat belia Sabah ini menjadi satu identiti yang perlu dibanggakan dan dikekalkan serta dipertingkatkan pada masa hadapan. Tambahan beliau, semua pemegang taruh belia perlu mengambil tugas dan memberi keutamaan dalam mencorak identiti belia aspirasi masa depan kerana ia adalah kepentingan utama kerajaan agar nilai positif dalam kalangan belia  diperkukuh dan memastikan hala tuju pembangunan negeri serta Agenda Transformasi Pemerkasaan Pembangunan Belia dicapai.

Sesi Persidangan MPBNS dimulakan dengan ucaptama daripada Yang Berhormat Datuk Hj Tawfiq bin Datuk Seri Panglima Hj Abu Bakar Titingan, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah. Hadir sama Pembantu Menterinya, Datuk Masiung Banah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Datuk Suzannah Liaw dan Presiden MBS, Nourman Ryan Awang Zaini.

 

Disediakan oleh   :  Mohd Rizal Mohd Sham

Disunting oleh     : Dr. Wasitah bt Hj. Mohd Yusof