Minat, Aspirasi dan Sokongan Politik Belia IPT Malaysia

Mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi merupakan kumpulan belia elit dan terpelajar. Di samping mempelajari pelbagai disiplin ilmu, mereka juga bergiat dalam aktiviti politik kampus. Pola perlakuan politik mereka mampu menggugat suasana politik kampus dan nasional. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menganalisis sokongan dan perlakuan politik di kalangan 5200 belia daripada 20 lnstitusi Pengajian Tinggi Awam (lPTA) dan 12 Swasta (IPTS) terhadap kerajaan dan faktor yang mempengaruhinya. Berdasarkan pemerhatian dan soal selidik, hasil kajian menunjukkan bahawa minat politik di kalangan belia IPT adalah pada tahap sederhana dan hanya 27.7 peratus daripada mereka telah mendaftar sebagai pengundi dan 12.3 peratus yang menyatakan telah menjadi ahli sesebuah parti politik. Internet merupakan sumber maklumat utama politik mereka di samping televisyen dan akhbar harian perdana. Belia IPT menyatakan mereka memilih calon berdasarkan kriteria pencapaian akademik, seagama, latar belakang agama yang baik dan persamaan ideologi politik. Manakala parti yang dipilih pula berdasarkan perjuangan agama dan bangsa, isu kemanusiaan dan pembangunan. Aspirasi mereka mahukan kerajaan lebih prihatin terhadap kebajikan belia, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, lebih banyak kebebasan bersuara, pembasmian rasuah dan kemiskinan, mahukan AUKU dipinda dan ISA terus dikekalkan. Hasil kajian juga mendapati bahawa 54.6 peratus daripada belia IPT menyokong Barisan Nasional (BN) berdasarkan aspirasi dan sebaliknya 45.7 peratus akan menyokong BN dalam pilihan raya akan datang. Majoriti daripada mereka memilih dan menyokong Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai tokoh yang paling layak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gandingan yang sesuai.

Kata kunci: Politik kampus, belia, aspirasi, pilihan raya, minat politik, perlakuan politik

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH