kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi
kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Other Language   carian
faq hubungi hubungi hubungi

KECERDASAN EMOSI DAN CARA GAYA KEPIMPINAN DALAM KALANGAN PEMIMPIN REMAJA DI BANDAR BARU BANGI, SELANGOR

Kajian di Barat telah membuktikan bahawa terdapat perkaitan yang bermakna antara tahap kecerdasan emosi individu dengan cara gaya kepimpinan mereka. Keadaan ini turut juga dibuktikan dalam kajian ini dengan memfokuskan kepada golongan belia peringkat muda (remaja). Kajian ini telah dilaksanakan ke atas 81 orang pemimpin pelajar (pengawas) yang berusia di antara 14 hingga 17 tahun daripada sekolah menengah kebangsaan di Selangor. Cara gaya kepimpinan responden telah diukur menggunakan Multifactor Leadership Questionnaire Form 6s (MLQ; Bass & Avolio, 1992) sementara kecerdasan emosi diukur menggunakan Assessing Emotion Scale (AES; Schutte, Malouff, Hall, Haggerty, Cooper, Golden & Dornheim, 1998). Kajian mendapati wujudnya perkaitan yang signifikan di antara kecerdasan emosi dengan tiga cara gaya kepimpinan, iaitu kepimpinan transformasi (r=0. 478, p<0.01), transaksi faire (r= -0.291, p<0.05) dan laissez-faire (r= -0.374, p<0.05). Selain itu, beberapa perkaitan yang signifikan turut wujud di antara sub-komponen kecerdasan emosi dengan tiga cara gaya kepimpinan yang dikaji. Kajian ini berjaya membuktikan kepentingan peranan kecerdasan emosi di dalam proses pembentukan cara gaya kepimpinan. Kesimpulannya, kajian ini mendapati bahawa kecerdasan emosi yang positif dapat menjana ke arah keberkesanan corak kepimpinan yang dilaksanakan.

Kata Kunci: Kecerdasan Emosi, Cara Gaya Kepimpinan, Pemimpin, Remaja

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PROFIL DAN GAYA HIDUP PEROKOK WANITA BERKERJA DI LEMBAH KELANG

Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti latar belakang, pola aktiviti serta faktor-faktor yang mendorong wanita berkerjaya untuk merokok serta faktor yang menghalang mereka daripada berhenti merokok. Kajian yang dilakukan dengan menggunakan kaedah survei ini melibatkan 300 responden di Lembah Klang yang dipilih secara pensampelan bertujuan dan teknik ’snowballing’. Hasil kajian menunjukkan bahawa gaya hidup yang tidak bertunjangkan nilai agama serta bersifat hedonistik dilihat sebagai punca utama wanita merokok. Kajian juga menunjukkan perasaan ingin mencuba yang tinggi (56.7%) disertai (44.7%) perasaan inginkan keseronokan menyebabkan mereka merokok. Mereka juga sukar berhenti atas faktor kawan (56%) dan ketagihan (41.3%). Hampir 50% berpandangan bahawa produktiviti dan tumpuan di tempat kerja akan menurun apabila tidak merokok menyebabkan mereka sukar untuk berhenti merokok. Kesimpulannya, wanita yang bekerja memerlukan sokongan sosial yang bersifat holistik bagi memastikan mereka terus kekal produktif dan positif dalam melaksanakan tugas di pejabat di samping mengamalkan gaya hidup sihat tanpa rokok.

Kata Kunci: Wanita Berkerjaya, Merokok, Gaya Hidup, Hedonistik, Keseronokan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PENGGUNAAN BARANGAN DAN PERKHIDMATAN MEWAH SERTA PENGURUSAN KEWANGAN DALAM KALANGAN BELIA ORANG ASLI DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti pola penggunaan barangan dan perkhidmatan mewah dalam kalangan belia Orang Asli di Semenanjung Malaysia, khususnya dari segi pembelian barangan mewah dan penggunaan perkhidmatan mewah serta pengurusan kewangan mereka. Budaya penggunaan dalam kalangan belia Orang Asli memberi pemahaman tentang kedinamikan budaya yang mendasari tingkah laku kepenggunaan. Ini merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk mengidentifikasikan dirinya dengan barangan dan perkhidmatan, terutamanya berjenama komersial dan yang melambangkan status mengikut kepada arus perdana. Seramai 1017 belia Orang Asli daripada tujuh negeri petempatan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia terlibat dalam kajian ini. Pengumpulan data dilakukan menggunakan borang soal selidik dan pemerhatian tidak turut serta juga digunakan sebagai nilai tambah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pola penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam kalangan belia Orang Asli tidak jauh bezanya dengan masyarakat arus perdana. Mereka menggunakan barangan mewah dan perkhidmatan mewah sama seperti yang digunakan oleh masyarakat dalam arus perdana. Namun, dari segi pengurusan kewangan, belia Orang Asli masih lagi berada pada tahap yang rendah dan sebahagian besar pendapatan mereka diperuntukkan untuk tujuan pembelian barangan mewah sehingga menafikan peruntukan kewangan untuk tujuan lain yang lebih penting. Implikasi daripada hasil kajian ini ialah pengetahuan mengenai kepenggunaan dan pengurusan kewangan wajar diberikan perhatian terhadap belia Orang Asli agar mereka dapat mengelakkan diri menjadi mangsa hedonisme kemewahan yang dibawa oleh masyarakat arus perdana. Selain itu, dapat membantu belia Orang Asli dalam membawa kesejahteraan hidup kerana belia Orang Asli adalah pewaris kepada kelangsungan budaya masyarakat Orang Asli.

Kata Kunci: Belia Orang Asli, Pola Penggunaan Barangan Dan Perkhidmatan Mewah, Pengurusan Kewangan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

FENOMENA PENGULANGAN PENAGIHAN DADAH DALAM KALANGAN BANDUAN BELIA DI PENJARA PULAU PINANG

Kajian berfokus kepada permasalahan, faktor penyumbang serta atribusi sosial berkaitan pengulangan penagihan dadah dalam kalangan banduan belia Melayu di Penjara Pulau Pinang. Responden kajian merupakan banduan belia berbangsa Melayu yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Pulau Pinang dan pernah mengalami pengulangan penagihan dadah. Kajian yang dilaksanakan ini akan cuba mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan responden kembali mengambil dadah semula setelah mengikuti program pemulihan di Penjara Pulau Pinang. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Seramai 10 orang belia yang merupakan banduan di Penjara Pulau Pinang dan berumur antara 21 tahun sehingga 40 tahun telah terlibat dalam kajian ini. Penemuan kajian ini mendapati antara faktor-faktor penyebab responden kembali mengambil dadah adalah ingatan responden pada dadah masih lagi kuat, hati tidak kuat untuk melawan keinginan terhadap dadah, belum wujud keinginan untuk berhenti dari mengambil dadah, sikap dan stigma masyarakat yang memandang negatif, ketiadaan pekerjaan dan wang untuk menampung kehidupan dan kembali bergaul dengan rakan-rakan yang masih lagi mengambil dadah. Cadangan program dan cadangan kajian akan datang dikemukakan berdasarkan kepada hasil penemuan dan analisis transkrip temu bual dengan responden belia penagih berulang.

Kata Kunci: Belia, Pengulangan Penagihan Dadah, Banduan, Kerja Sosial, Atribut Psiko logical

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PENDAYAUPAYAAN BELIA MELALUI PENDEKATAN KERJA SOSIAL

Kenyataan bahawa belia adalah masalah dan mangsa dalam masyarakat telah menghalang komuniti dari melihat belia sebagai warganegara yang kompeten dan boleh memberi sumbangan yang bermakna kepada kehidupan sivik (Strom, Oguinick & Singer, 1995). Apabila belia digambarkan sebegini dan tidak diberikan perhatian maka mereka melihat bahawa peranan sosial yang perlu dilaksanakan adalah kecil sahaja dan kesesuaian hubungan kehidupan mereka kepada skala sosial, politik dan ekonomi juga dipersoalkan. Walau bagaimanapun, jika komuniti melihat “belia sebagai sumber”, maka belia akan dilihat sebagai generasi muda yang kompeten dan mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka serta mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada komuniti. Hancock (1994) menyatakan:
“Penyertaan belia yang aktif adalah amat penting dalam menjana semula dan melestarikan kehidupan sivik dalam masyarakat. Melalui pembangunan kemahiran dalam aspek kolaborasi dan kepimpinan, dan mengaplikasikan kapasiti-kapisiti ini kepada peranan yang lebih berkesan dalam masyarakat, belia boleh memainkan peranan utama dalam menangani isu-isu sosial yang memberikan kesan kepada kehidupan mereka dan generasi masa depan.”
Sari utama pandangan ini adalah agar belia membina jati diri dengan “melakukan perubahan” dengan memberikan mereka faedah-faedah nyata dan membangunkan komuniti yang lebih sihat.

Kata Kunci: Belia, Komuniti, Kompeten, Kualiti Hidup Dan Kerja Sosial

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

CONTACT US

iyres-en.svg

INSTITUTE FOR YOUTH RESEARCH MALAYSIA

Level 10, KBS Tower, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Federal Government Administrative Centre,
62570 Putrajaya.

Phone : +603-8871 3417 
Fax : +603-8871 3342 
Email : info[at]iyres.gov.my

HYPERLINK