PENGGUNAAN BARANGAN DAN PERKHIDMATAN MEWAH SERTA PENGURUSAN KEWANGAN DALAM KALANGAN BELIA ORANG ASLI DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti pola penggunaan barangan dan perkhidmatan mewah dalam kalangan belia Orang Asli di Semenanjung Malaysia, khususnya dari segi pembelian barangan mewah dan penggunaan perkhidmatan mewah serta pengurusan kewangan mereka. Budaya penggunaan dalam kalangan belia Orang Asli memberi pemahaman tentang kedinamikan budaya yang mendasari tingkah laku kepenggunaan. Ini merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk mengidentifikasikan dirinya dengan barangan dan perkhidmatan, terutamanya berjenama komersial dan yang melambangkan status mengikut kepada arus perdana. Seramai 1017 belia Orang Asli daripada tujuh negeri petempatan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia terlibat dalam kajian ini. Pengumpulan data dilakukan menggunakan borang soal selidik dan pemerhatian tidak turut serta juga digunakan sebagai nilai tambah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pola penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam kalangan belia Orang Asli tidak jauh bezanya dengan masyarakat arus perdana. Mereka menggunakan barangan mewah dan perkhidmatan mewah sama seperti yang digunakan oleh masyarakat dalam arus perdana. Namun, dari segi pengurusan kewangan, belia Orang Asli masih lagi berada pada tahap yang rendah dan sebahagian besar pendapatan mereka diperuntukkan untuk tujuan pembelian barangan mewah sehingga menafikan peruntukan kewangan untuk tujuan lain yang lebih penting. Implikasi daripada hasil kajian ini ialah pengetahuan mengenai kepenggunaan dan pengurusan kewangan wajar diberikan perhatian terhadap belia Orang Asli agar mereka dapat mengelakkan diri menjadi mangsa hedonisme kemewahan yang dibawa oleh masyarakat arus perdana. Selain itu, dapat membantu belia Orang Asli dalam membawa kesejahteraan hidup kerana belia Orang Asli adalah pewaris kepada kelangsungan budaya masyarakat Orang Asli.

Kata Kunci: Belia Orang Asli, Pola Penggunaan Barangan Dan Perkhidmatan Mewah, Pengurusan Kewangan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH