KAJIAN AFEKTIF DAN RANGSANGAN BELIA GURU BAHASA MELAYU TERHADAP PENYERAPAN KONSTRUKTIVISME DINAMIK BERASASKAN PENGGUNAAN INTERNET

Belia wajar berfungsi secara aktif sebagai penggerak dan pembina ketamadunan. Dalam kematangan usia, kemantapan fizikal dan kecelikan minda, guru yang belia merupakan kelompok yang mampu memikul peranan sebagai warga pendidik aktif dan proaktif. Hakikatnya, bidang pendidikan telah mengalami perubahan pesat yang dibawa oleh kesan globalisasi dan ledakan teknologi maklumat. Perubahan yang berlaku secara menyeluruh telah mencetuskan aspek afektif dan rangsangan belia guru terhadap pengajaran di dalam bilik darjah. Justeru, penyelidikan ini dilakukan untuk mengkaji aspek afektif yang melibatkan dimensi sikap. Kajian tentang aspek rangsangan pula membabitkan dimensi motivasi. Daripada kedua-dua dimensi tersebut, kajian ini memfokuskan hubungannya terhadap penyerapan konstruktivisme dinamik dalam pengajaran Bahasa Melayu berasaskan penggunaan internet. Penyelidikan ini membabitkan 1400 orang guru sekolah menengah di seluruh negara, iaitu 100 orang bagi setiap negeri telah dipilih sebagai responden kajian. Pemilihan sampel dibuat secara rawak bertujuan untuk meninjau sikap dan motivasi belia guru terhadap penyerapan konstruktivisme dinamik dalam pengajaran Bahasa Melayu berasaskan penggunaan internet. Kaedah temu bual berasaskan tinjauan digunakan dalam kajian ini dengan berpandukan instrumen soal selidik. Analisis deskriptif digunakan untuk menghuraikan skor min sikap dan motivasi belia guru. Dalam pada itu, ujian Korelasi Pearson digunakan untuk melihat sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara sikap dengan motivasi belia guru. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara sikap dengan motivasi belia guru terhadap penyerapan konstruktivisme dinamik dalam pengajaran Bahasa Melayu berasaskan penggunaan internet. Dapatan kajian ini membuka laluan kepada belia guru dalam trend siber untuk memikirkan pemilihan pendekatan yang lebih sesuai diterap di dalam bilik darjah ke arah melahirkan generasi belia pelapis yang berketerampilan dalam penjanaan minda bahasa.

Kata Kunci: Sikap, Motivasi, Konstruktivisme Dinamik, Internet, Globalisasi

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH