KECERDASAN SPIRITUAL DAN CARA GAYA KEPIMPINAN DALAM KALANGAN PEMIMPIN REMAJA DI MALAYSIA

Kajian lepas telah membuktikan bahawa terdapat perkaitan yang bermakna antara tahap kecerdasan spiritual individu dengan cara gaya kepimpinan mereka. Keadaan ini turut juga dibuktikan dalam kajian ini dengan memfokuskan kepada golongan belia peringkat muda (remaja). Kajian ini telah dilaksanakan ke atas 277 orang pemimpin pelajar yang berusia di antara 16 hingga 17 tahun daripada empat buah sekolah berasrama penuh di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Cara gaya kepimpinan responden telah diukur menggunakan Multifactor Leadership Questionnaire Form 6s (MLQ; Bass & Avolio, 1992) sementara kecerdasan spiritual diukur menggunakan Spiritual Intelligence Self-Report Inventory (SISRI; King & DeCicco, 2009). Kajian mendapati wujudnya perkaitan yang signifikan di antara kecerdasan spiritual dengan dua cara gaya kepimpinan, iaitu kepimpinan transformasi dan laissez-faire. Manakala, tiada perkaitan yang signifikan wujud di antara kecerdasan spiritual dengan kepimpinan transaksi. Selain itu, beberapa perkaitan yang signifikan turut wujud di antara sub-komponen kecerdasan spiritual dengan cara gaya kepimpinan transformasi. Kajian ini berjaya membuktikan kepentingan peranan kecerdasan spiritual di dalam proses pembentukan cara gaya kepimpinan. Kesimpulannya, kajian ini mendapati bahawa kecerdasan spiritual yang positif dapat menjana ke arah keberkesanan corak kepimpinan yang disampaikan oleh pemimpin remaja.

Kata Kunci: Kecerdasan Spiritual, Cara Gaya Kepimpinan, Pemimpin, Remaja

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH