GAGASAN I MALAYSIA DAN IMPLIKASINYA TERHADAP PERHUBUNGAN ANTARA ETNIK

Dato Sri Najib Tun Razak telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia pada April 2009 untuk meneruskan agenda mewujudkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Objektif kertas ini ialah untuk menilai tahap kefahaman, persepsi dan penglibatan golongan belia terhadap Gagasan 1Malaysia serta implikasinya terhadap perhubungan antara etnik. Persampelan dalam kajian ini terdiri daripada 1000 orang responden iaitu golongan belia yang berumur 18-40 tahun. Kajian ini dilaksanakan di beberapa buah negeri iaitu Zon Utara iaitu Perlis, Kedah dan Penang; Zon Tengah iaitu, Perak dan Selangor; Zon Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Zon Selatan iaitu Melaka dan Johor. Dapatan kajian menunjukkan secara keseluruhannya, tahap kefahaman belia terhadap Gagasan 1Malaysia bagi ketiga–tiga etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India adalah di tahap sederhana. Manakala majoriti responden dari etnik Melayu dan India mempunyai persepsi di tahap tinggi iaitu amat positif terhadap Gagasan 1Malaysia berbanding etnik Cina yang mempunyai persepsi di tahap yang sederhana. Dari segi penglibatan belia terhadap program-program Gagasan 1Malaysia secara keseluruhannya adalah sangat rendah. Majoriti etnik Melayu dan Cina mempunyai tahap hubungan yang sederhana dengan kelompok etnik yang lain, manakala bagi etnik India, majoritinya mempunyai tahap hubungan yang tinggi. Kefahaman responden terhadap Gagasan 1Malaysia mempunyai hubungan yang signifikan terhadap perhubungan antara etnik. Semakin tinggi tahap kefahaman terhadap Gagasan 1Malaysia maka semakin baik perhubungan antara etnik.

Kata Kunci: Belia, Kefahaman, Persepsi, Penglibatan, Gagasan 1Malaysia, Hubungan Etnik.

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH