AMALAN ‘BUDI BAHASA BUDAYA KITA’ MELALUI APLIKASI MEDIA SOSIAL

Budi bahasa merupakan elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap individu kerana ia melambangkan peribadi dan sahsiah diri seseorang itu. Namun sayangnya pada masa kini budi bahasa tidak lagi dilihat sebagai elemen penting yang menyempurnakan peribadi seseorang. Peredaran zaman serta perkembangan teknologi semasa menjadi salah satu sebab mengapa amalan budi bahasa seakan dipinggirkan terutamanya oleh golongan belia. Kajian ini dijalankan untuk mencari pendekatan terbaik dalam memperkasakan kembali amalan berbudi bahasa dalam kalangan belia dengan menggunakan media sosial sebagai medium terbaru yang boleh menarik minat golongan ini untuk mengaplikasikan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian mereka. Kajian ini menggabungkan kaedah penyelidikan kualitatif dan kuantitatif dalam mendapatkan data daripada responden yang dikenal pasti. Hasil kajian mendapati, pengetahuan golongan belia terhadap amalan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ adalah tinggi. Manakala, sikap mereka terhadap amalan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ pula adalah baik dan positif. Daripada segi tingkah laku, hasil kajian mendapati ia berada pada tahap yang sederhana. Hasil kajian juga menunjukkan, media sosial berupaya mendidik golongan belia tentang amalan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’. Di samping itu, hasil kajian juga mendapati terdapat tiga faktor yang boleh menarik golongan belia terhadap amalan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ iaitu daripada segi bentuk mesej, sifat mesej serta cara mesej disampaikan.

Kata Kunci: Media Sosial, Amalan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’, Belia, Pendidikan, Malaysia

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH