PENDIDIKAN DAN KEMAHIRAN BELIA LUAR BANDAR

Dalam mengharungi cabaran di sebalik pembangunan Negara yang kian pesat, ilmu pengetahuan dan kemahiran merupakan aset penting kepada golongan belia untuk terus bersaing. Namun, masih terdapat ramai belia terutamanya di kawasan luar bandar yang tidak menyambung pengajian dalam bidang akademik mahupun latihan kemahiran, khususnya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV). Akibatnya, mereka ketinggalan dalam memainkan peranan sebagai penggiat ekonomi. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti latar belakang dan inisiatif belia luar bandar yang tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Satu kajian tinjauan telah dijalankan menggunakan pendekatan kuantitatif dan disokong oleh data kualitatif. Soal selidik telah diedarkan kepada 1600 orang belia luar bandar dan hasilnya sebanyak 1204 set lengkap data digunakan untuk analisis. Sesi temubual juga telah dijalankan bersama beberapa orang responden. Data kuantitatif dianalisis menggunakan statistik deskriptif, manakala data temubual dianalisis secara tematik. Dapatan menunjukkan bahawa golongan belia yang tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi majoritinya terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah. Didapati lebih 60% belia yang terlibat dalam kajian ini pernah bekerja dan mempunyai pengalaman berharga dalam bidang-bidang tertentu. Dapatan juga menunjukkan belia ini mempunyai inisiatif untuk menyambung pengajian (min pada tahap yang tinggi = 3.78), namun dihalangi beberapa faktor seperti faktor diri sendiri dan menyara keluarga. Implikasi daripada kajian ini ialah Institut Kemahiran Belia Negara boleh memperluaskan pengiktirafan kepada golongan belia berdasarkan pengalaman terdahulu (PPT) bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang-bidang tertentu contohnya pertanian, automotif dan katering.

Kata Kunci: Belia Luar Bandar, Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Kemahiran, Inisiatif

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH