KEFAHAMAN DAN PENERIMAAN MAHASISWA UNIVERSITI AWAM TERHADAP GERAKAN ISIS

Kemunculan kumpulan ekstremis The Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) di tengah-tengah kemelut dan pergolakan politik di Timur Tengah telah menjadi isu utama perbincangan mengenai ancaman terhadap keselamatan di peringkat domestik dan antarabangsa. Dalam konteks Malaysia, kemunculan kumpulan pengganas ini telah diberi perhatian serius oleh kerajaan. Serangan membabitkan rakyat Malaysia yang berlaku di rantau Timur Tengah dan siri tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa menunjukkan bahawa rakyat Malaysia telah dikenal pasti terlibat menyertai perjuangan ISIS. Tujuan kajian adalah untuk mengenal pasti tahap kefahaman dan potensi penerimaan dan penolakan terhadap ISIS dalam kalangan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia. Kajian menerusi kaedah kajian rentas (cross-sectional study) dengan menggunakan borang soal selidik dan perbincangan kumpulan fokus (focus group discussion, FGD) telah dilakukan ke atas 1200 responden dari kalangan pelajar-pelajar IPT awam dan swasta di Semenanjung Malaysia yang dibahagikan kepada 4 zon utama (Utara, Tengah, Selatan dan Pantai Timur). Hasil kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar IPT masih belum mempunyai pemahaman jelas tentang ISIS. Tahap kefahaman responden tersebut dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti media massa, media sosial dan rakan-rakan. Walaupun secara umumnya dapatan dari sudut tahap penerimaan dan penolakan menunjukkan bahawa majoriti responden didapati menolak perjuangan ISIS, masih terdapat sebilangan kecil responden yang masih belum pasti mengenainya malah ada yang didapati bersetuju dan menyokong ISIS. Hasil penyelidikan ini menunjukkan peranan lebih serius harus dimainkan oleh kerajaan untuk menangani isu ini sebelum ia berkembang menjadi ancaman yang lebih serius kepada keselamatan negara.

Kata Kunci: Keselamatan Negara, The Islamic State of Iraq and Syria (ISIS), Keganasan, Institusi Pengajian Tinggi

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH