ASET PERKEMBANGAN DAN KEPUASAN HIDUP REMAJA MELAYU

Kajian ini bertujuan untuk menentukan perkaitan antara aset perkembangan dan kepuasan hidup dalam kalangan remaja Melayu di Semenanjung Malaysia. Kajian ini telah dijalankan di empat buah negeri di semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Johor, Kelantan dan Kedah. Kaedah persampelan Probability Proportionate to Size (PPS) telah digunakan untuk memilih 739 orang pelajar lelaki dan perempuan Melayu berusia di antara 13 hingga 17 tahun. Kepuasan hidup remaja diukur menggunakan Student Life Satisfaction Scale (Huebner, 1991) dan aset perkembangan remaja diukur menggunakan Developmental Assets Profile (Search Institute, 2005). Kajian mendapati 56.7% remaja yang dikaji mempunyai tahap kepuasan hidup yang rendah. Hasil analisis korelasi menunjukkan terdapat perkaitan positif yang signifikan antara lapan kategori aset perkembangan dan kepuasan hidup remaja Melayu. Ujian regresi mendapati secara keseluruhannya pembolehubah yang dimasukkan ke dalam model regresi menjelaskan sebanyak 9.3% daripada varians kepuasan hidup remaja Melayu. Aset identiti positif (β=185, p=0.001) merupakan peramal signifikan yang lebih kuat terhadap kepuasan hidup remaja Melayu. Kesimpulannya, remaja Melayu harus dilengkapkan dengan aset perkembangan bagi meningkatkan tahap kepuasan hidup mereka.

Kata Kunci: Aset Perkembangan, Kategori Aset Perkembangan, Kepuasan Hidup, Remaja Melayu  

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH