PERANAN GAYA KEIBUBAPAAN DALAM PEMBENTUKAN KECERDASAN EMOSI REMAJA LUAR BANDAR: SATU TINJAUAN AWAL DI SABAH

Kecerdasan emosi memberi impak positif dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Namun, pembentukannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Justeru, artikel ini bertujuan untuk melaporkan pengaruh gaya keibubapaan terhadap pembentukan kecerdasan emosi remaja luar bandar. Selain itu, artikel ini turut meneliti perbezaan kecerdasan emosi dan penerimaan gaya keibubapaan mengikut jantina. Sampel kajian terdiri daripada kalangan remaja berumur 15 hingga 17 tahun yang berasal daripada sekolah luar bandar Sabah yang dipilih mengikut persampelan rawak mudah. Seramai 110 orang sampel yang terlibat dalam kajian ini. Terdapat tiga (3) bahagian soal selidik yang digunakan oleh pengkaji iaitu a) demografi responden, b) gaya keibubapaan (menggunakan Parental Authority Questionnaire) dan c) kecerdasan emosi (menggunakan the Assessing Emotions Scale). Data yang diperolehi dianalisis melalui ujian regresi pelbagai dan ujian-t sampel bebas menggunakan IBM SPSS versi 23. Hasil keputusan menunjukkan terdapat pengaruh yang signifikan antara gaya keibubapaan autoritatif dengan pembentukan kecerdasan emosi remaja luar bandar. Bagi perbezaan kecerdasan emosi mengikut jantina, hasil menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara jantina terhadap kecerdasan emosi remaja luar bandar. Sementara, perbezaan penerimaan gaya keibubapaan mengikut jantina pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan. Hasil keputusan ini secara tidak langsung memberi implikasi terhadap ibu bapa di kawasan luar bandar dalam memilih pendekatan gaya keibubapaan yang bersesuaian bagi tujuan pembentukan kecerdasan emosi remaja yang lebih positif.

Kata Kunci: Gaya Keibubapaan, Kecerdasan Emosi, Remaja, Luar Bandar, Jantina

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH