PEMAHAMAN DAN PERSEPSI MAHASISWA UNIVERSITI TUNKU ABDUL RAHMAN (UTAR) MENGENAI ASPEK AGAMA DAN KEPERCAYAAN DI MALAYSIA

Dalam era teknologi maklumat yang semakin rancak berkembang, masyarakat berpeluang untuk mendapatkan pelbagai bentuk maklumat dengan mudah. Antara informasi yang kerap mendapat perhatian serius dari pelbagai lapisan masyarakat adalah mengenai aspek agama dan kepercayaan. Media baru menerusi beberapa laman sosial khasnya dijadikan ‘dewan parlimen siber’ mahupun medan pertempuran untuk membahaskan isu-isu yang melibatkan kepentingan masing-masing. Antara isu yang sentiasa dihangatkan di alam maya merangkumi tema agama, budaya, bangsa/ras, gender, fahaman politik, hak asasi dan seumpamanya. Namun begitu, aspek agama dan sistem kepercayaan dilihat sebagai isu yang paling sensitif dan sukar untuk mendapatkan kata sepakat dalam usaha untuk mengekalkan kesepaduan sosial dan keharmonian yang dinikmati selama ini. Memandangkan mahasiswa merupakan pelapis negara yang berharga, justeru makalah ini bertujuan untuk meninjau pemahaman dan persepsi mahasiswa Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mengenai aspek agama dan kepercayaan yang dilabel sensitif untuk dibicarakan kebelakangan ini. Seramai 60 orang mahasiswa UTAR yang ditawarkan buat julung kalinya subjek wajib lulus Hubungan Etnik telah menyertai survei ini. Memandangkan tiadanya subjek khusus mengenai agama dan kepercayaan ditawarkan kepada pelajar UTAR di samping suasana sosial mengenai aspek ini sentiasa ‘panas’ di alam maya, justeru dirasakan amat perlu untuk mengkaji pemahaman mereka. Kajian ini penting untuk mengetahui sama ada mahasiswa mempunyai tahap kematangan yang tinggi dalam menangani isu berkaitan agama dan kepercayaan ataupun mereka cenderung untuk bertindak mengikut emosi yang melampau. Survei atas talian dengan menggunakan Spreadsheet Google Drive telah dilakukan untuk mengutip data dengan menggunakan tiga skala jawapan umum yakni setuju, tidak setuju dan tidak pasti. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakan responden bersikap terbuka dan boleh menerima budaya serta falsafah keagamaan etnik lain seadanya. Reaksi yang ditonjolkan ini mencerminkan bahawa mahasiswa UTAR mempamerkan sikap matang dan rasional dalam membincangkan aspek agama dan kepercayaan yang dilabel sensitif justeru jangan dibicarakan oleh kebanyakan masyarakat umum.

Kata Kunci: Agama dan Kepercayaan, Kesepaduan Sosial, Hubungan Etnik, Mahasiswa

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH