PERANAN PROGRAM TELEVISYEN TERHADAP PEMBENTUKAN PEMIKIRAN BELIA

Televisyen masih menjadi pilihan pengguna dan kekal relevan walaupun media sosial telah memonopoli penggunaan media massa. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti sejauhmana motif tontonan dan program pilihan yang ditonton melalui media televisyen masih relevan dalam kalangan belia di Malaysia dalam membentuk pemikiran mereka berdasarkan beberapa faktor demografi, pendedahan tontonan, program pilihan dan sikap terhadap televisyen. Kajian ini adalah berdasarkan kerangka Teori Penggunaan dan Pemuasan Kehendak. Sejumlah 1,990 orang belia terlibat dan menjawab borang soal selidik dalam kajian tinjauan berbentuk keratan rentas. Data yang diperolehi dianalisis secara statistik deskriptif dan inferensi berbantukan perisian SPSS. Enam (6) motif tontonan televisyen dikenalpasti, iaitu menjana pengetahuan, tabiat/masa lapang, peneman, eskapisme, rangsangan dan bersantai menjadi asas kajian. Dapatan menunjukkan kategori umur mempunyai hubungan yang signifikan dengan kesemua motif tontonan televisyen kecuali menjana pengetahuan. Hampir kesemua motif tontonan televisyen juga menunjukkan hubungan positif yang signifikan dengan tahap tontonan, program pilihan dan sikap berdasarkan tanggapan terhadap realiti kandungan program yang dipaparkan. Walau bagaimanapun, apabila kategori umur dan tahap pendedahan tontonan televisyen dikawal, tabiat menonton tidak lagi mempunyai hubungan dengan tanggapan realiti kandungan program. Dapatan kajian turut menunjukkan beberapa perkaitan signifikan di antara motif tontonan televisyen dan program televisyen digemari terutamanya bagi program hiburan, drama dan sukan. Implikasi kajian ini dibincangkan dalam kerangka perspektif kajian penggunaan dan pemuasan kehendak yang dapat menjelaskan motif tontonan dan pemilihan program televisyen bersesuaian dengan pembentukan pemikiran belia masa kini.

Kata Kunci: Motif Tontonan Televisyen, Penggunaan dan Pemuasan Kehendak, Belia

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL