PENCARIAN MAKLUMAT BERKAITAN KESIHATAN SEKSUAL DAN REPRODUKTIF DALAM KALANGAN REMAJA DI SARAWAK

Pencarian maklumat kesihatan seksual dan reproduktif (KSR) merupakan salah satu aspek penting dalam konteks pendidikan kesihatan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui bagaimana remaja mengakses sumber maklumat berkaitan dengan tingkah laku mencari maklumat KSR di Sarawak. Kajian keratan rentas telah dijalankan di tiga lokasi di Sarawak iaitu di Kuching, Sibu dan Miri dengan saiz sampel sejumlah 1,146 orang yang berumur di antara 16 hingga 19 tahun. Pensampelan berbilang peringkat yang digunakan adalah berdasarkan kerangka pensampelan yang menyenaraikan daerah, perumahan dan kampung. Proses ini menggunakan sekurang-kurangnya lima peringkat proses persampelan dari pemilihan daerah sehingga kepada pemilihan responden dari setiap isirumah terpilih secara rawak. Data dikumpul menggunakan soal-selidik berstruktur. Kadar respons kajian ini adalah 95% (N=1,086). Keputusan kajian menunjukkan responden yang pernah mencari maklumat KSR dalam tempoh tiga bulan yang lepas ialah 43% (n = 467). Sebab utama mencari maklumat KSR adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran. Jenis maklumat yang paling utama dicari ialah berkenaan dengan penjagaan kesihatan diri. Tiga sumber utama maklumat KSR yang sangat kerap digunakan ialah melalui internet, rakan sebaya dan media cetak. Sumber maklumat KSR yang sangat diyakini ialah personel kesihatan, guru sekolah dan internet. Penemuan kajian mencadangkan keperluan untuk melihat kekuatan sumber-sumber maklumat dalam membangunkan strategi promosi kesihatan berkaitan KSR yang berkesan bagi golongan remaja di Sarawak.

Kata Kunci: Kesihatan, Maklumat, Remaja, Seksual, Sarawak

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH