KETAGIHAN TELEFON PINTAR DALAM KALANGAN MAHASISWA

Ketagihan telefon pintar kini menjadi fenomena global kerana turut menyumbang kepada masalah kesihatan fizikal, mental dan psikososial dalam kalangan belia universiti. Bagaimanapun, kajian berkaitan fenomena ini masih kurang dijalankan di Malaysia. Objektif kajian keratan rentas ini untuk mengenal pasti trend penggunaan telefon pintar dan menentukan perbezaan ketagihan telefon pintar dengan jantina, pendapatan keluarga dan tempoh penggunaan sehari dalam kalangan belia universiti di salah sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Seramai 369 orang belia tahun pertama terlibat dalam kajian ini. Smartphone Addiction Scale (SAS-M) versi Bahasa Melayu telah digunakan untuk mengukur tahap ketagihan telefon pintar; terdiri daripada enam subskala iaitu hubungan berorientasikan ruang siber, gangguan kehidupan seharian, keutamaan, penggunaan yang berlebihan, penglibatan positif dan penarikan. Analisa deskriptif, ujian T Tidak Bersandar dan Anova Sehala digunakan bagi menjawab objektif kajian. Majoriti (78.3%) memiliki telefon pintar lebih daripada setahun dan 70.0% menggunakannya lebih daripada empat jam sehari. Selain itu, 57.2% menggunakannya untuk melayari laman sosial dan 78.9% memperuntukkan kurang daripada RM50 sebulan bagi perbelanjaan telefon. Subskala penggunaan yang berlebihan mencatatkan nilai min tertinggi diikuti gangguan kehidupan seharian dan hubungan berorientasikan ruang siber. Dapatan kajian menunjukkan tiada perbezaan signifikan antara ketagihan telefon pintar dengan jantina (p>0.05), tetapi terdapat perbezaan dengan pendapatan keluarga dan tempoh penggunaan sehari (p<0.05). Belia yang mempunyai pendapatan keluarga kurang daripada RM1000 dan menggunakan telefon pintar lebih daripada empat jam sehari mencatatkan skor ketagihan yang lebih tinggi. Penemuan ini memberi indikasi bahawa fenomena ketagihan telefon pintar wujud dalam kalangan belia universiti di Malaysia. Walaupun telefon pintar turut memberi manfaat, penggunaan yang berlebihan tanpa kawalan boleh mengakibatkan belia ketagih dan berisiko mengalami kesan negatif terhadap kesihatan. Oleh itu, perhatian dan kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan. Program pendidikan kesihatan dan intervensi yang bersesuaian haruslah dilaksanakan bagi menangani ketagihan telefon pintar seterusnya, memperkasa belia ke arah pengamalan tingkah laku yang lebih sihat.

Kata Kunci: Ketagihan Telefon Pintar, Belia Universiti, Kesihatan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH