PENGARUH PENDAPATAN TERHADAP PENCAPAIAN AKADEMIK DALAM KALANGAN MAHASISWA INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Malaysia perlu menyahut cabaran untuk meningkatkan pendapatan golongan sederhana kepada golongan kelas menengah bagi memastikan negara dapat bersaing di mata dunia. Golongan sederhana ini diklasifikasikan kepada golongan yang berpendapatan daripada RM 1100 hingga RM 2000 sebulan. Manakala, golongan kelas menengah adalah berpendapatan RM 3000 hingga RM 6000 sebulan. Salah satu cara bagi menyahut cabaran ini adalah menerusi penerusan pendidikan setelah tamat peringkat menengah. Kajian ini bertujuan untuk mengukur prestasi akademik pelajar yang berasal daripada golongan sederhana di Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US). Selain itu, kajian ini adalah bagi meneliti kedinamikan pendapatan isi rumah sebagai salah satu faktor penyebab naik-turun prestasi akademik di kalangan belia. Tambahan, kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti hubung kait prestasi akademik dengan inisiatif pihak universiti dalam membina-upayakan golongan sederhana ini. Kajian ini melibatkan empat UA dan dua US bagi menunjukkan perbandingan berdasarkan ciri strata sosial yang telah ditentukan. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah menerusi sesi percambahan fikiran, wawancara kumpulan fokus serta pemerhatian terhadap aspek profil sejarah hidup pelajar terpilih telah dilakukan. Dapatan kajian kemudiannya telah dianalisa menggunakan perisian Response Surface Methodology (RSM) versi 8 dan ANOVA. Dapatan daripada kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa wujudnya pemisahan taraf sosioekonomi di kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Taraf sosioekonomi ini telah mempengaruhi prestasi pelajar terbabit. Kajian juga mendapati bahawa program inisiatif universiti seperti Kedai 1Siswa, bantuan waqaf, kupon makanan dan kiosk pelajar merupakan usaha lain dalam membantu dan memberi nilai tambah kepada kualiti pembelajaran mereka. Antara cadangan bagi mengatasi keadaan ini adalah dengan menyediakan pakej khas bantuan akademik, peluang pekerjaan kontrak, kelas bersama biz-kaunselor, sokongan kaunseling serta lain-lain insentif.

Kata Kunci: Golongan Sederhana, Universiti, Mahasiswa, Akademik

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH