Domain Indeks Belia Malaysia (IBM)

2. HUBUNGAN SOSIAL

Domain Hubungan Sosial IBM’11 mengekalkan ketiga-tiga indikator. Item-item bersesuaian dengan indikator dikemaskini berdasarkan keperluan semasa. Domain Hubungan Sosial mencapai skor 69.0. Hasil skor ini mencadangkan ada kemungkinan hubungan sosial mencapai kestabilan. Peningkatan sedikit dalam nilai skor menunjukkan belia Malaysia berjaya mengekalkan hubungan sosial yang memuaskan bersama ibu bapa (keluarga), masyarakat dan rakan.

 

Berdasarkan skor indikator dalam Jadual 4, beberapa rumusan dapat dibuat seperti berikut:

• Skor untuk hubungan dengan ibu bapa (keluarga) menurun daripada 72.8 pada tahun 2008 kepada 71.1 pada tahun 2011 (73.5 pada 2006). Walaupun nilai penurunan adalah kecil dan tidak membimbangkan buat masa ini, namun perhatian dan penyelidikan selanjutnya perlu dijalankan untuk mengenal pasti dan menangani isu berkenaan memandangkan ia suatu trend penurunan yang berterusan melalui masa. Keadaan ini mungkin berkaitan dengan fenomena ‘yang dekat berjauhan, yang jauh berdekatan’ yang merupakan sebahagian daripada sumbangan penggunaan internet berleluasa.

• Skor untuk hubungan antara belia dan masyarakat telah mengalami peningkatan yang signifikan dan agak memberangsangkan, iaitu dari 54.4 pada tahun 2008 kepada 63.9 pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa skor ini adalah skor yang paling rendah di antara ketiga-tiga indikator.

• Skor untuk hubungan antara belia dengan rakan menunjukkan sedikit penurunan daripada 72.9 pada tahun 2008 kepada 72.0 pada tahun 2011.

 

• Skor di atas menunjukkan belia Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik untuk jaringan dalaman, iaitu keluarga dan rakan dan jaringan luaran yang melibatkan masyarakat secara meluas. Walaupun wujudnya sedikit peningkatan dalam penyesuaian diri dalam masyarakat akibat peningkatan peluang komunikasi dalam kalangan masyarakat seperti melalui jaringan sosial dan kesediaan maklumat, namun belia Malaysia masih memerlukan peningkatan kemahiran untuk berkecimpung lebih baik dan berkesan dengan masyarakat secara keseluruhan.

     
[ kembali ]