MAKLUMAT AKTIVITI

Tarikh : 22 Oktober 2016 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi - 2.00 petang
Tempat : Dewan Bandar Tun Razak, Muadzam Shah, Pahang

PENDAHULUAN

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah mengadakan program Persidangan Meja Bulat Belia bagi Siri Ke-5 tahun 2016 yang bertajuk “Cabaran Isi Rumah B40 Belia Luar Bandar”. Persidangan ini telah diadakan pada 22 Oktober 2016 dengan kerjasama Gabungan Belia 4B Kawasan Rompin, Pahang bertempat di Dewan Bandar Tun Razak, Muadzam Shah, Pahang.

Persidangan kali ini melibatkan beberapa golongan intelektual yang terdiri daripada pegawai kerajaan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pensyarah dan pelajar, ahli-ahli Gabungan Belia 4B Rompin serta belia sekitar kawasan Muadzam Shah, Rompin dan Kuantan. Persidangan ini lebih memfokuskan kepada perbincangan antara golongan belia dan pembentang/panel forum berkaitan isu kos sara hidup belia luar bandar serta peluang kerjaya bagi belia B40 yang juga merupakan tumpuan dalam RMKe-11.

OBJEKTIF PERSIDANGAN

Persidangan ini diadakan adalah bertujuan untuk:

Menyediakan platform kepada golongan belia untuk menyuarakan pandangan, maklum balas mahupun reaksi berkaitan isu ekonomi berkaitan kos sara hidup yang menjadi cabaran utama golongan belia luar bandar kategori B40; Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan peserta berkaitan impak kesejahteraan ekonomi di kalangan generasi belia luar bandar dalam pembangunan negara terutama sekali dalam sektor perladangan dan pertanian; dan

Menghasilkan input untuk rujukan kepada pihak penggubal dasar dalam membuat perancangan strategik penambahbaikan kos sara hidup belia luar bandar kategori B40.

ATURCARA

Perjalanan program Persidangan Meja Bulat Belia ini adalah seperti berikut: 08.30 pagi - Pendaftaran Peserta

09.00 pagi - Taklimat Moderator
ENCIK ASRULLAH AFFENDI ABDULLAH
Ketua Penerangan
Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan 09.30 pagi - Bacaan Doa

- Ucapan Aluan
Y.BRS. CIK AZURA ABIDIN
Pengurus Bahagian Perancangan Dan
Penyelidikan IYRES

- Ucapan Perasmian
YB DATO’ WAN KHADRI WAN MAHUSSIN
ADUN Bukit Ibam

10.30pagi - PEMBENTANGAN I

ENCIK ABDUL HALIM ABDUL AZIZ
Seksyen Pengagihan, Unit Perancang Ekonomi
“Menangani Kos Sara Hidup Kumpulan Isi
Rumah B40 dari Perspektif RMKe 11”

- Sesi Soal Jawab bagi Pembentangan I

10.30pagi - SESI FORUM

- Ahli Panel I
PUAN NUR ALIYAH AZIZI
Pensyarah,Politeknik Muadzam Shah
“Peranan Belia Dalam Mencorak Ekonomi Negara”

- Ahli Panel II
ENCIK ZAID HARIS FADILAH
Ketua Cawangan KPDNKK Cawangan Rompin
“Belia Sebagai Pengguna Yang Bijak”

- Ahli Panel III
ENCIK SHARIM MD ZAIN
Pengerusi
Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan
“Cabaran Dan Harapan Generasi Baru Felda” - Sesi Soal Jawab Forum

12.30tgh - Pembentangan Maklum Balas(Wish List)
Persidangan Meja Bulat Belia – Cabaran Isi Rumah
B40 Belia Luar Bandar oleh Moderator
- Penyerahan Dokumen Persidangan Meja Bulat
Belia kepada wakil Kementerian
- Majlis Penutup

KEHADIRAN DAN PENYERTAAN

Secara keseluruhannya, penyertaan bagi Persidangan Meja Bulat Belia: “Cabaran Isi Rumah B40 Belia Luar Bandar” adalah seramai 74 orang peserta, seorang pembentang kertas kerja dan 3 orang panel forum. Butiran terperinci adalah seperti berikut:

Tetamu Kehormat : YB Wan Khadri Wan Mahussin
ADUN Bukit Ibam

Moderator : Encik Asrullah Affendi Abdullah
Ketua Penerangan
Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan

Pembentang : Encik Abdul Halim Abdul Aziz
Seksyen Pengagihan, Unit Perancang Ekonomi

Panel Forum : 1. Puan Nur Aliyah Azizi
Pensyarah
Politeknik Muadzam Shah

2. Encik Zaid Haris Fadillah
Ketua Cawangan KPDNKK
Cawangan Rompin

3. Encik Sharim Md Zain
Pengerusi Majlis Belia Felda
Wilayah Kuantan

RUMUSAN PERSIDANGAN

Secara keseluruhan, peserta Persidangan Meja Bulat Belia yang bertemakan “Cabaran Isi Rumah B40 Belia Luar Bandar” telah bersama-sama berbincang secara aktif dan menyuarakan pandangan serta pendirian berkaitan isu kos sara hidup yang kian meruncing di Malaysia. Hasil perbincangan dan pandangan tersebut telah berjaya dikumpuldan direkodkan sebagai maklum balas (wish list) persidangan.

Persidangan ini telah menghasilkan 6 maklum balas (wish list) seperti berikut:

Belia Malaysia dan peserta persidangan telah bersetuju menerima, melaksana dan menggesa beberapa saranan untuk tindakan seperti berikut :

1. Memudahkan dokumentasi pemilikan rumah kepada golongan belia B40 yang tiada penyata gaji oleh pihak kerajaan (pengurusan FELDA) / koperasi / bank;

2. Memberikan keutamaan peluang pekerjaan di luar bandar (terutama di dalam felda) kepada belia tempatan berbanding dimonopoli oleh pekerja warga asing;

3. Memperluas pemilikan rumah dalam kalangan belia luar bandar secara sewa beli dengan menambah unit perumahan kos rendah kepada belia luar bandar;

4. Mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor industri di luar bandar bagi mengurangkan migrasi belia luar bandar ke bandar;

5. Mewujudkan saluran bagi memudahkan golongan belia luar bandar mendapat peluang-peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan (formal dan tidak formal); dan

6. Mewujudkan satu platform bagi membawa suara-suara belia tempatan dalam membuat sesuatu keputusan berhubung masa depan mereka.

Sehubungan itu, belia luar bandar DIGESA agar:
1. Menguasai kemahiran yang khusus dalam sesuatu bidang yang apabila diperlukan golongan belia tempatan mampu diketengahkan;

2. Menawarkan kepakaran diri kepada komuniti tempatan dan menjana pendapatan melalui kemahiran yang dikuasai;

3. Menanam semangat kental dan fokus terhadap usaha yang dilakukan dalam memajukan ekonomi diri, keluarga dan komuniti setempat;

4. Mengetahui hak-hak sebagai pengguna/warganegara supaya tidak ditindas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab;

5. Mengukuhkan pendapatan ekonomi keluarga bagi mengurangkan isu sosial yang boleh memudaratkan institusi kekeluargaan;

6. Memberikan sokongan kepada banduan belia dalam menjalani kehidupan dengan menggunakan kemahiran yang mereka pelajari dalam tempoh kelompok ini menjalani hukuman;

CADANGAN TINDAKAN SUSULAN KE ATAS RESOLUSI

Resolusi persidangan meja bulat belia ini akan dipanjangkan untuk tindakan lanjut Bahagian Dasar KBS, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengikut kesesuaian.

Adalah dicadangkan agar resolusi tersebut dapat memandu Kementerian/Bahagian/Agensi yang berkaitan untuk merangka dan mewujudkan pelan tindakan menangani kos sara hidup belia luar bandar yang dikategorikan dalam B40 yang bersesuaian.

PENILAIAN PELAKSANAAN PERSIDANGAN

. Penilaian pelaksanaan persidangan telah dibuat melalui borang penilaian program yang dilengkapkan oleh peserta. Adalah didapati bahawa 79.7% peserta persidangan bersetuju bahawa objektif persidangan ini telah tercapai. Manakala 75.4% daripada peserta menyatakan penceramah yang dijemput mempunyai pengetahuan yang baik dengan tajuk program dan 69.6% bersetuju bahawa topik yang dibentangkan adalah memuaskan.

Antara cadangan dan harapan para peserta untuk penambahbaikan program adalah seperti berikut:

1. Usul yang dibentangkan (wish list) dapat memberi ruang dan peluang kepada golongan belia luar bandar untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka;

2. Mengadakan persidangan secara berkala agar maklumbalas ke atas setiap resolusi persidangan dilaporkan;

3. Komunikasi dua hala di antara penceramah/panel forum dengan peserta program perlu dipertingkatkan;

4. Program seperti ini perlu diteruskan lagi di masa hadapan bagi memberikan pendedahan kepada belia; dan

5. Memperuntukkan lebih masa untuk sesi perbincangan dan soal jawab supaya peserta dapat memahami isu dengan lebih terperinci. PENUTUP

Persidangan Meja Bulat Belia bertemakan “Cabaran Isi Rumah B40 Belia Luar Bandar” telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan aktif daripada pelbagai pihak merangkumi belia luar bandar, pegawai kerajaan, pensyarah dan pelajar, ahli-ahli Gabungan Belia 4B Rompin dan belia sekitar kawasan Muadzam Shah, Rompin dan Kuantan serta penyertaan agensi kerajaan/swasta.

Dapatan penilaian program menunjukkan bahawa Persidangan Meja Bulat Belia: “Cabaran Isi Rumah B40 Belia Luar Bandar” ini telah memenuhi keperluan belia dan ianya wajar diteruskan pada masa akan datang dengan bertemakan isu-isu yang selaras dengan keperluan semasa.

Disediakan Oleh :

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Kementerian Belia Dan Sukan