Penanda Aras Tahap Kualiti Dan Kesejahteraan Hidup Belia Sarawak Bakal Dibangunkan

sarawak

 

KUCHING, 16 MAC 2017 – Penanda aras dalam mengukur kualiti dan kesejahteraan hidup belia di Negeri Sarawak bakal dibangunkan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak dengan tujuan membantu Kerajaan Negeri melaksanakan perancangan dan program yang lebih menepati sasaran dan kehendak golongan belia. Indeks Belia Negeri Sarawak telah dicadangkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) melalui satu pembentangan yang telah di adakan di Kementerian, Belia dan Solidariti Sarawak.

Pembentangan kertas cadangan telah disampaikan oleh YBrs Dr Zainah Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, IYRES yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Michael Manyin Anak Jawong, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak. Pembentangan juga menyentuh tentang Dasar Belia Malaysia dan perkaitannya dengan Indeks Belia di peringkat nasional dan Negeri Sarawak. Intipati penting cadangan pembentukan Indeks Belia Sarawak adalah berkaitan dalam mencorak identiti belia aspirasi masa depan kerana ia adalah kepentingan utama kerajaan negeri agar nilai positif dalam kalangan belia diperkukuh dan memastikan hala tuju pembangunan negeri serta Agenda Transformasi Pemerkasaan Pembangunan Belia dicapai dengan jayanya.

Sesi pembentangan ini juga telah mendapat maklumbalas yang positif dari agensi yang terlibat dalam pembangunan belia di negeri Sarawak. Turut hadir dalam pembentangan tersebut ialah oleh YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan, YB Puan Rosey Binti Haji Yunus, Menteri Muda Solidariti, En Kameri Hj Affandi, Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Tuan Hj Abdul Haris Ishak, Pengarah JBSN Sarawak, Pegawai Kanan KBSS dan wakil Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Seberkas).

 

Disediakan oleh:

Siti Nur Hidayah Ismail
sitinurhidayah[at]iyres.gov.my

Disunting oleh:

Wan Nor Iza Mohd Nor
nor.iza[at]iyres.gov.my