IYRES Terajui Pelaksanaan Data Raya KBS

20180412 dataraya PUTRAJAYA, 12 APRIL 2018 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah diberi kepercayaan untuk menerajui pelaksanaan dan pembangunan Sistem Data Raya Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Pewujudan Sistem Data ini bertujuan menggalakkan inovasi dalam perkhidmatan kerajaan sekali gus memenuhi agenda transformasi negara ke arah kerajaan digital dan data terbuka. Melalui Sistem Data Raya ini, sistem penyampaian perkhidmatan akan menjadi lebih responsif dan pantas untuk mempertingkatkan penyampaian maklumat kepada masyarakat dan pemegang taruh berkaitan belia dan sukan.

Penyelarasan pelaksanaan sistem ini telah dilaksanakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kerja Data Raya KBS yang dipengerusikan oleh YBrs. Pn. Ramona Mohd. Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS bagi memperhalusi terma dan gerak kerja pembangunan sistem.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 14 orang wakil daripada setiap Jabatan, Bahagian dan Agensi di bawah KBS bagi melancarkan pelaksanaan Data Raya KBS ini. Mesyuarat ini diharapkan membantu pelaksanaan Data Raya KBS agar sistem ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, terutamanya kepada pemegang-pemegang taruh dan kumpulan sasar yang berkaitan.

Disediakan oleh:
Siti Nur Hidayah Ismail
sitinurhidayah[at]iyres.gov.my

Disunting oleh:
Noor Afifah Johari
afifah[at]iyres.gov.my