MBM cadang Hari Belia Negara disambut pada 12 Ogos 2020

bernama1

KUALA LUMPUR, 28 April -- Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan tarikh bagi Sambutan Hari Belia Negara tahun ini diadakan pada 12 Ogos selepas tarikh asal ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presiden MBM Muhammad Fadzli Hasan berkata tarikh itu dipilih sempena Hari Belia Antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“MBM dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) secara tradisinya tidak pernah gagal dalam menyambut hari yang menjulang martabat golongan belia.

“Namun dalam keadaan negara dan dunia yang sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, MBM mengambil langkah untuk menyokong saranan bersama yang dilakukan pihak KBS dengan menangguhkan Sambutan Hari Belia Negara bagi tahun ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penangguhan itu mampu memberi ruang kepada MBM serta KBS untuk merangka sambutan yang lebih meriah dan memberi impak besar selain dapat melakukan sesi penilaian bagi penerima Anugerah Belia sepanjang tempoh tersebut.

Semalam, KBS memaklumkan bahawa Sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh baharu susulan penularan wabak COVID-19 serta lanjutan tempoh PKP sehingga 12 Mei.

-- BERNAMA