Publisiti program kesukarelawanan wajar diperhebat

Sebahagian rakyat Malaysia giat melakukan aktiviti kebajikan kerana semangat kesukarelawanan dan jati diri yang tinggi. Hal ini dapat dilihat melalui penyertaan masyarakat pelbagai kaum melalui agensi dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan demi membantu golongan memerlukan.

Namun, tahap kesedaran masyarakat Malaysia terhadap program sukarelawan perlu diberi perhatian sewajarnya kerana aktiviti sukarelawan yang dilaksanakan tanpa pengetahuan, pendedahan dan sokongan masyarakat setempat pastinya tidak memenuhi matlamat serta objektif utama, iaitu melahirkan masyarakat yang berempati.

Oleh itu, Institut Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif melaksanakan tinjauan dalam talian bagi mengenal pasti tahap kesedaran, pengetahuan dan juga pembabitan kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan NGO, kerajaan. agensi dan Individu.

Tinjauan bermula pada 4 Mac dan berakhir pada 30 April itu, disertai 527 warganegara berumur 15 tahun ke atas daripada pelbagai latar belakang.

Berdasarkan demografi responden, 56.7 peratus yang menjawab tinjauan ini adalah wanita, manakala lelaki hanya 43.3 peratus.

Sebahagian besar responden dalam lingkungan umur antara 20 hingga 29 tahun (52.4 peratus); diikuti mereka berumur 30-39 (27.1 peratus) dan 15-19 (11.0 peratus). Dari segi status pekerjaan, didapati 52.4 peratus responden dalam kalangan individu bekerja; masih belajar (34.5 peratus) dan tidak bekerja (13.1 peratus).

Tahap pendidikan tertinggi ialah ijazah, iaitu 39.1 peratus; diploma (22.6 peratus); SMP/SPM/SPMV (15.7 peratus) dan sarjana (7.8 peratus). Hasil tinjauan menunjukkan sebanyak 81.6 peratus masyarakat Malaysia pernah terbabit dengan aktiviti kesukarelawanan sebagai peserta (68.9 peratus); urus setia (48.2 peratus); pelaksana (44.2 peratus) dan penganjur (33.4 peratus).

Rata-rata responden berpuas hati terhadap semua penganjur program kesukarelawanan di negara ini terutama program dianjurkan oleh agensi, syarikat swasta, kelab dan persatuan selain belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tidak dinafikan mereka yang pernah terbabit akan sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti kesukarelawan, iaitu 81.9 peratus melalui pelbagai medium seperti media sosial, laman sesawang, khidmat pesanan ringkas (SMS), blog belia, televisyen dan radio, akhbar dan risalah kerana 99.8 peratus dari mereka memilih untuk kekal terbabit diri dengan aktiviti kesukarelawanan secara sendirian, rakan-rakan atau keluarga.

Antara faktor pendorong bagi masyarakat Malaysia untuk membabitkan diri dengan aktiviti kesukarelawanan adalah mendapat pengalaman baharu yang merangkumi 72.9 peratus; menambah kenalan baharu (69.3 peratus); kepuasan menerusi amalan kebajikan (63.6 peratus); membantu meningkatkan kemahiran (60.2 peratus); minat mendalam dalam bidang sukarelawan (59.2 peratus) dan mengisi masa lapang (49.5 peratus).

Tinjauan ini menunjukkan tahap pembabitan masyarakat Malaysia memuaskan terhadap semangat kesukarelawanan. Namun, tidak semua berpeluang untuk terbabit kerana ada yang tidak tahu bagaimana caranya untuk menyertai aktiviti kesukarelawan.

Selain tidak berpeluang menyertai aktiviti kesukarelawanan, 62.9 peratus responden juga tidak tahu wujudnya aktiviti kesukarelawan di sekeliling mereka, malah 58.3 peratus responden tidak tahu mengenai sambutan Hari Kesukarelawanan Malaysia (HKM).

Hal ini menunjukkan kurangnya penyebarluasan dan publisiti berkaitan kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat. Pihak penganjur sama ada kerajaan atau swasta perlu memainkan peranan dalam usaha mempergiatkan lagi komitmen mereka dalam memupuk semangat kesukarelawanan masyarakat.

Oleh itu, Hari Kesukarelawanan Malaysia diharap dapat diteruskan seperti yang diakui 93.5 peratus responden yang bersetuju program ini dilaksanakan setiap tahun kerana kita perlu tingkatkan lagi kesedaran kepentingan khidmat kesukarelawanan demi pembangunan masyarakat setempat. Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/06/705296/publisiti-program-kesukarelawanan-wajar-diperhebat