PLATFORM MEMPERKATAKAN MENGENAI GST SECARA INTELEKTUAL OLEH BELIA

 

PLATFORM MEMPERKATAKAN MENGENAI GST SECARA INTELEKTUAL OLEH BELIA

Oleh : Muhammad Ariff Mat Jusoh ( IYRES)

ariff@ ippbm.gov.my

 

Kuala Lumpur, 21 Disember 2013 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST): Apa Pandangan Belia? bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.

Pelaksanaan persidangan ini bagi menyediakan platform bagi memberi penerangan yang jelas dan berkesan kepada generasi muda tentang pelaksanaan GST di Malaysia. Melalui persidangan ini, IYRES dapat membuka peluang kepada para peserta terutamanya golongan muda untuk menyuarakan pandangan mengenai GST. Hasil dari persidangan ini akan dijadikan resolusi suara belia mengenai pelaksanaan GST di Malaysia dan akan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi untuk perhatian pihak kerajaan.

Seramai 100 orang peserta hadir semasa persidangan tersebut. Empat kertas kerja telah dibentangkan kepada mereka bagi memberikan kefahaman tentang pelaksanaan GST di Malaysia. Antaranya, dari Kementerian Kewangan (Dasar Percukaian Negara), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Apa Itu Cukai Barang & Perkhidmatan), Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia(Kesan Cukai Barang & Perkhidmatan Kepada Ekonomi Malaysia) dan Junior Chamber International Malaysia (GST: Perspektif Usahawan Muda).

Persidangan sehari ini telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah IYRES, YBrs. Tuan Hj. Adnan Abu Hassan. Beliau dalam ucapannya menyokong pelaksanaan sistem cukai ini kerana GST merupakan langkah kehadapan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

 Menurut beliau lagi, GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada, maka pelaksanaan GST dijangka tidak akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, melainkan jika kadar cukai yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan pada masa ini.

 Sembilan rumusan hasil daripada Persidangan Meja Bulat Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST): Apa Pandangan Belia? telah dipersetujui oleh peserta yang hadir iaitu:

  1. Belia berpandangan bahawa pihak kerajaan perlu memberi penerangan secara menyeluruh agar dapat meningkatkan tahap kefahaman terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperingkat akar umbi.
  2. Mengadakan sesi dialog yang efektif antara pemimpin dengan rakyat bagi membolehkan setiap persoalan dapat dirungkai berkenaan Pelaksanaan GST.
  3. Belia menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi jaminan bahawa GST tidak akan membebankan rakyat dengan kenaikan  harga barang yang membawa kepada kos sara hidup yang tinggi.
  4. Belia mencadangkan semua pihak yang berkenaan dengan pelaksanaan GST dapat memainkan peranan menyebarkan maklumat yang jelas dan tepat mengenai keperluan dan peranan sebenar GST kepada Masyarakat dan Negara.
  5. Belia berpandangan agar pihak kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat khususnya golongan belia antara inisiatif serta “tangible Outcome” yang diperolehi daripada pelaksanaan GST pada 1 April 2015.
  6. Belia mencadangkan agar pihak kerajaan membuat “engagement” dengan agensi-agensi seperti Kastam, KPDNKK serta lain-lain agensi untuk diberi latihan dalam membantu memberi penerangan pelaksanaan GST kepada rakyat.
  7. Belia berpendapat bahawa, pihak kerajaan perlu lebih telus dalam memberi penjelasan terhadap penggunaan hasil cukai GST agar rakyat memahami ke mana  hasil cukai disalurkan dan bagaimana ia dibelanjakan.
  8. Belia mencadangkan agar hasil input yang diperolehi daripada persidangan ini dibincangkan ke dalam Makmal Kos Sara hidup yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
  9. Mencadangkan agar subjek percukaian diselaraskan dan dimasukkan di dalam kurikulum pendidikan sekolah menengah.

 

Disunting : Shariffah Mamat ( IYRES )

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.