PERSIDANGAN MEJA BULAT BELIA: ISU PERUMAHAN BELIA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PERSIDANGAN MEJA BULAT BELIA: ISU PERUMAHAN BELIA

Oleh : Muhammad Ariff Mat Jusoh
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

21 JUN 2014, Kuala Lumpur – Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Belia: Isu Perumahan Beliabertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur.

Penganjuran program ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi memberikan penerangan dan maklumat yang lebih jelas berhubung isu perumahan masa kini kepada generasi muda serta inisiatif pihak kerajaan dalam menangani pelbagai permasalahan seperti peningkatan harga rumah.

Sewaktu persidangan berlangsung, seramai empat orang pembentang yang dijemput khas daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Suntrack Development Sdn. Bhd. telah membentangkan pelbagai isu berkaitan tajuk persidangan kepada belia-belia yang hadir.

Input pelaksanaan persidangan tersebut telah menghasilkan beberapa resolusi penting yang melibatkan syor-syor kepada pihak kerajaan, swasta mahupun belia itu sendiri. Antaranya ialah belia berpendapat agar kawasan rizab kerajaan dibangunkan dengan secepat mungkin sebagai kawasan perumahan yang kompetitif yang memfokuskan kepada golongan migrasi belia ke bandar dengan penetapan kos yang mampu milik.

Selain itu, golongan belia berharap agar pihak kerajaan boleh membantu dengan mewujudkan kuota khas dalam setiap projek perumahan khusus untuk golongan belia yang masih belum memiliki rumah sama seperti kuota bumiputera.

Merujuk kepada kriteria asas pemilikan rumah melalui inisiatif pihak kerajaan, belia berpandangan agar pihak jabatan dan agensi berkaitan agar dapat menilai semula kriteria kepada golongan belia yang bekerja dengan swasta yang berpendapatan RM2000 ke bawah untuk memiliki rumah mampu milik.

Golongan belia berpendapat agar pemaju perumahan memperkenalkan konsep ‘rent to buy’ kepada para belia bagi membantu mereka memiliki rumah.

 Persidangan sehari tersebut telah berlangsung dengan jayanya tambahan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato' Azhar Mohamed Isa, Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa dan Pengurusan) KBS sewaktu sesi Pembentangan dan Penerimaan Resolusi Persidangan Meja Bulat Belia: Isu Perumahan Belia daripada wakil belia yang telah mengikuti persidangan tersebut kepada pihak kementerian.

Bagi berita bergambar berkaitan Persidangan Meja Bulat Belia; Isu Perumahan Belia boleh dirujuk menerusi portal IYRES di capaian www.ippbm.gov.my atau menerusi laman sosial IYRES di capaian https://www.facebook.com/IPPBM.

Disunting oleh: Shariffah bt. Mamat
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.