FELO BERPELUANG CURAH BAKTI PADA NEGARA

FELO BERPELUANG CURAH BAKTI PADA NEGARA

PUTRAJAYA, 9 JULAI 2014 – Sifat kepimpinan yang baik serta berkesan perlu ada dalam diri setiap pemimpin bagi mentadbir Negara di masa mendatang. Demikian tegas Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Peserta Program Felo Perdana Kepada Menteri Menteri Kabinet di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

 

Menurut beliau, Program Felo Perdana tersebut merupakan proses terbaik dalam mempersiagakan kepimpinan generasi akan datang serta bagi melahirkan lebih ramai pemimpin yang mampu membawa obor kepimpinan Negara.

 

Beilau juga turut mengingatkan para peserta bahawa kejayaan tidak hanya bergantung kepada segulung ijazah semata-mata sebaliknya perlu ada kematangan dalam membuat keputusan. Justeru, pengalaman yang ditimba apabila bersama-sama dengan anggota kabinet kelak merupakan pengalaman terbaik dalam membentuk karekter seorang pemimpin di masa akan datang.

 

Sebanyak 84 belia cemerlang terpilih untuk diterima masuk ke dalam Program Felo Perdana (PFP)  yang diteruskan buat kali kedua setelah penganjuran pertamanya pada tahun lepas.

 

PFP pada tahun ini menunjukkan peningkatan permohonan dari kalangan mahasiswa cemerlang di dalam dan luar negara apabila lebih 1200 calon telah menghantar permohonan berbanding hanya 700 permohonan yang diterima pada tahun lalu.

 

Calon-calon yang berjaya telah menghantarkan vitae kurikulum mereka yang turut disertakan bersama karangan ringkas bagi membahaskan tentang mana-mana dasar kerajaan yang mereka fikirkan paling penting, serta sebarang kritikan, komen dan cadangan penambahbaikan ke atas dasar itu.

 

Mereka yang telah terpilih terdiri daripada individu berkaliber dan mempunyai keputusan peperiksaan yang baik, disamping berjaya membentangkan hujah dengan bijaksana melalui karangan yang dikemukakan.

 

Meneruskan kesinambungannya pada tahun lepas, PFP pada tahun ini merupakan medium terbaik buat para peserta bagi merasai sendiri pengalaman tadbir urus awam apabila ditempatkan di bawah menteri-menteri kabinet selama enam minggu hingga enam bulan bergantung kepada status calon sama ada mahasiswa ataupun graduan.

 

Dengan hasrat memberi pendedahan kepada golongan pemimpin muda tersebut tentang soal berkaitan pentadbiran Negara dalam setiap aspek pentadbiran, PFP diharapkan menjadi peluang terbaik buat para felo mencurahkan bakti dalam menjayakan agenda nasional Negara.

 

Oleh : Mohd Firdaus Amin Abdullah (Unit Komunikasi Korporat KBS )

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

Disunting : Adeli Hussin@Drus (Unit Komunikasi Korporat KBS )

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.