Program bantu belia Islam dirangka

Program bantu belia Islam dirangka

Oleh : Utusan Malaysia

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

JOHOR BAHRU 16 Julai - Kerajaan negeri melalui Perbadanan Islam Johor (PIJ) mengumumkan empat program baharu yang dirangka untuk belia Islam bagi meningkatkan ekonomi umat Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua program tersebut dirangka bagi mengupayakan golongan belia Islam dalam bidang keusahawanan, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM650,000 untuk tahun ini.

"Kita mahukan budaya keusahawanan diterapkan dari peringkat awal dan kerajaan negeri berusaha memberi penekanan menjadikan golongan belia sebagai sasaran.

"Melalui program yang diperkenalkan ini, kita dapat mengupayakan masyarakat belia Islam di negeri ini menceburi bidang perniagaan, seterusnya membangun dan memperkasa ekonomi umat Islam Johor," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Bantuan Belia Islam di Persada Johor di sini semalam.

Antara program yang diumumkan dalam majlis tersebut ialah Program Bantuan Usahawan Belia yang memperuntuk pemberian geran sebanyak RM5,000 dalam bentuk sewaan pejabat atau peralatan pejabat.

Program Bantuan 'Youth Collective' pula membolehkan pemberian set khemah kerusi dan meja bagi tujuan operasi perniagaan kepada usahawan-usahawan belia yang mempunyai produk jenama sendiri.

Dua lagi program yang diperkenalkan ialah Program Bantuan Penjaja Kecil iaitu pemberian bantuan tunai kepada penjaja kecil sebanyak RM500 dan Program Tajaan NGO Belia Islam untuk bantuan tajaan program-program pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia.

Mereka yang berminat, boleh membuat permohonan kepada PIJ selewat-lewatnya 10 September ini atau menghubungi 07-2277611.

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd