PENYEBARLUASAN INDEKS BELIA MALAYSIA (IBM‘15) NEGERI PAHANG

 DSC7085

KUANTAN, 22 Disember 2015 -Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang telah menganjurkan Program Mini Talk Show #MYindexbelia Negeri Pahang bertempat di Rumah Tamu dan Kelab Pegawai Kerajaan Negeri Sri Gelora, Kuantan, Pahang.

Mini Talk show Indeks Belia Malaysia (IBM’15) ini bertujuan bagi menyebarluas dan memberi pendedahan kepada belia serta pemegang taruh pembangunan belia berkaitan Indeks Belia Malaysia 2015 (IBM'15) agar lebih sensitif dengan perubahan dalam indikator yang diukur. Indeks Belia Malaysia 2015 juga merupakan satu petunjuk kepada kesejahteraan hidup generasi belia di Malaysia bagi menilai semula keberkesanan program yang telah dilaksanakan dan juga menambah baik program yang akan datang.

Program yang disertai seramai 110 orang dimulakan dengan sesi Pembentangan oleh Dr. Wan Hasmawati Wan Ismail dari Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan tajuk Kesihatan Mental dalam kalangan Belia dapat dirumuskan tentang tanda-tanda tekanan mental, punca-punca tekanan mental dan bagaimana menangani tekanan mental dalam kalangan belia. Pemilihan skop pembentangan adalah selaras dengan Domain Kesihatan yang terkandung dalam IBM’15.

Sesi pembentangan bagi Mini Talk Show #MYindexbelia dimoderatorkan oleh Encik Wan Emril Nizam Wan Embong, Naib Presiden Majlis Belia Negeri Pahang dan ahli panelis terdiri daripada Pn. Wan Nor Iza Mohd Nor, Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan IYRES, dan Pn. Shariffah Mamat, Eksekutif Penyelidik Kanan IYRES. Turut hadir di Mini Talk Show Tersebut adalah ahli Think Tank IYRES, Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi Prof. Madya Dr. Muhammad Nubli Abd Wahab dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, En. Khairul Amin Bin Osman .

Melalui penyebarluasan ini adalah diharapkan agar golongan belia khususnya belia di Malaysia dan penggubal dasar bersama-sama mengembeling tenaga dalam menyumbang kepada peningkatan IBM yang seterusnya. Penyebarluasan ini akan diteruskan bagi tahun 2016.

Unit Komunikasi Korporat

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Disediakan Oleh: Muhammad Zahid Alif Bin Abdul Aziz (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

Suntingan: Shariffah Mamat (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)