SABAH MUNCUL NEGERI PERTAMA MENGELUARKAN INDEKS BELIA

 DSC7274

KOTA KINABALU, 7 JANUARI 2016 – Sabah muncul sebagai negeri pertama yang mempunyai Indeks Belia Sabah 2015 (IBS’15) yang akan menjadi penanda aras bagi mengukur tahap kesejahteraan hidup belia serta menyediakan input bagi penggubalan polisi atau dasar untuk pembangunan holistik golongan belia khususnya di Sabah. IBS’15 juga dihasilkan menerusi kerjasama antara Institute For Youth Research Malaysia (IYRES) sebuah agensi dibawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

Seiring dengan Indeks Belia Malaysia yang dilancarkan pada 8 September 2015 lalu, tahap kesejahteraan hidup belia di Sabah berada pada tahap sederhana dengan skor keseluruhan IBS’15 adalah 68.68 berdasarkan kepada 12 domain dan 55 indikator. Hasil daripada IBS’15 kerajaan negeri dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri Sabah akan menyediakan perancangan dan program yang lebih menepati sasaran.

IBS’15 juga akan memandu pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup belia di Sabah serta sebagai indikator bagi mengukur pencapaian Dasar Belia Malaysia dan Dasar Belia Sabah.

YAB. Datuk Seri Panglima Musa Aman, (Ketua Menteri Sabah) dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) serta Kementerian Belia dan Sukan atas komitmen tinggi serta kerjasama pintar mereka dalam menjayakan pelancaran IBS’15.

Katanya kerajaan negeri akan terus menyokong sebarang usaha menggembeleng kemahiran dan kepakaran belia yang merupakan aset berharga untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

Menurutnya selaras dengan prinsip kerajaan negeri yang mesra belia dan bersesuaian dengan keperluan 'penurunan kuasa' serta konsep 'Dari Belia Untuk Belia',kerajaan negeri akan terus memberi kepercayaan dan mengupayakan Majlis Belia Sabah (MBS) bersama 14 anggota gabungannya dalam merangka dan melaksanakan program belia yang sesuai dengan aspirasi belia masa kini.

"Bagi merealisasikan Agenda Pembangunan Memperkasa Belia dan Mempersiapsiaga Modal Insan, kerajaan negeri Sabah dalam Bajet 2016 telah menyediakan peruntukan lebih RM200 juta kepada pelbagai agensi untuk melaksanakan program-program latihan, pembelajaran, kemahiran, keusahawanan, pemantapan jati diri, peradaban serta 'peningkatan keupayaan dan semangat berpasukan'," katanya.

Unit Komunikasi Korporat
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Disediakan Oleh: Muhammad Zahid Alif Bin Abdul Aziz (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

Suntingan: Shariffah Mamat (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)