LAWATAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KE CURE & CARE SERVICE CENTRE (CCSC)

cscc1

 

LAWATAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KE CURE & CARE SERVICE CENTRE (CCSC)

KUALA LUMPUR, 05 APRIL 2016 – YB. Encik Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan telah mengadakan lawatan ke Cure & Care Service Centre (CCSC) di Kerinchi, Kuala Lumpur. Lawatan tersebut bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan operasi rawatan dan pemulihan yang dijalankan di pusat tersebut yang merupakan Pusat Aktiviti Harian bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan berhubung dengan permasalahan dadah. Beliau juga telah mendengar taklimat berkaitan Kajian Penggunaan Metadon Ke Atas Klien CCSC oleh Pihak Universiti Malaya dalam majlis lawatan tersebut.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Lokman Hakim Bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Datuk Hatipah Bt Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Belia Sukan Negeri, YBhg. Dr. Hajah Wasitah Hj Mohd. Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Yang Berusaha Tuan Izhar Bin Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta Yang Berusaha Prof. Dr. Adeeba Bt Kamarulzaman, Pengarah Centre of Excellence For Research In Aids.

CCSC telah dibina sebagai pusat yang memberikan perkhidmatan rawatan dan pemulihan kepada mereka yang menghadapi permasalahan dadah dalam komuniti. Dengan menyediakan perkhidmatan berkonsepkan ‘caring’, belia yang bermasalah dengan dadah boleh mendapatkan khidmat nasihat, rawatan serta pencegahan dari terlibat dengan dadah. Malah YB. Encik Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan juga menyokong serta menawarkan untuk memberi kerjasama dengan melibatkan Institusi Kemahiran Belia Negeri (IKBN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaaan (AADK) dalam aktiviti pencegahan dan juga rawatan yang disediakan.

KBS dan AADK  juga telah membincangkan berhubung kaedah yang dirasakan wajar bagi menyokong pembangunan belia iaitu dengan mengambilkira pendekatan bahawa seorang belia yang ditangkap dan diberi rawatan hendaklah dilihat sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan bukan penjenayah. Selain itu, KKM wajar membuat penyelarasan dengan semua pihak yang terlibat dalam program pemulihan dan sokongan yang dilaksanakan. AADK juga wajar melihat semula KPI dengan meletakkan jumlah penagih yang berjaya dipulih bagi melahirkan persepsi yang positif terhadap belia dalam kalangan masyarakat.  

Disediakan Oleh :    Nadya Shaffinaz Bajuri

                                 This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.