ZIARAH KASIH BERSAMA ANAK-ANAK YATIM PUSAT JAGAAN NUR HIKMAH

20160618 csr

SELANGOR 18 JUN 2016 – Pusat Jagaan Nur Hikmah yang terletak di Taman Mesra, Kajang Selangor menjadi lokasi program CSR Ziarah Kasih bagi Kelab Rekreasi IYRES pada tahun ini. Program ini juga turut mendapat kerjasama dengan Alumni Kapal Belia Asia Tenggara Dan Jepun(KABESA). Pusat Jagaan Nur Hikmah ini menempatkan seramai 35 orang anak-anak yatim dan miskin yang berumur antara 1 hingga 18 tahun dan 8 orang Ibu tunggal.

Selain itu, program ini diserikan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik seperti hiburan sepetang bersama badut, sambutan hari lahir, majlis berbuka puasa, sembahyang maghrib secara berjemaah, penyerahan sumbangan duit raya, sesi bergambar dan diakhiri dengan rondaan anak-anak yatim bersama dengan kumpulan bikers. Kegembiraan anak-anak yatim sepanjang program ini dilaksanakan memberikan seribu satu makna kepada penganjuran program seperti ini di mana secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban dan berkongsi rezeki dan kasih sayang yang diperlukan oleh mereka.

Turut sama memeriahkan program ziarah kasih ini adalah Dr. Hajah Wasitah Hj. Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES bersama keluarga beliau. Selaku penganjur, pihak Kelab Rekreasi IYRES mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dari semua pihak yang menjayakan program ini dan semoga mendapat keberkatan dari-NYA dalam menjayakan program bersama anak-anak yatim Nur Hikmah ini.

Disediakan oleh: Noor Afifah Johari

Disunting oleh: Shahhanim Yahya