PEMBABITAN KOMUNITI ATASI BELIA BERISIKO

20160712 wasitahbelia

 

Pembangunan belia kini memainkan peranan penting malah menjadi cerminan kepada pembangunan negara pada peringkat nasional mahupun antarabangsa. Malah masyarakat Malaysia semakin prihatin terhadap isu dan cabaran yang timbul dalam kalangan belia. Perhatian kepada penyelesaian yang harus diambil juga dititikberatkan bagi memastikan negara dapat melahirkan belia yang positif.

Sokongan komuniti adalah satu daripada aset luaran belia yang diperlukan oleh golongan belia dalam proses pembentukan diri mereka yang akan mencorak sesama belia kepada komuniti. Belia adalah kelompok terbesar dalam agenda pembangunan negara.

Menerusi Indeks Belia Malaysia (IBM) 2015, ada menyatakan bahawa belia di Malaysia seramai 13.88 juta yang mewakili 45.8 peratus daripada 30.26 juta penduduk Malaysia.

Bagi meninjau profil dan punca kepada pembabitan belia dalam komuniti di sesuatu persekitaran komuniti pesat membangun maka, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menjalankan Kajian serta Projek Intervensi Bagi Menangani Isu Belia Berisiko Tinggi ke atas belia berisiko dalam kalangan komuniti di Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Projek Intervensi Bagi Menangani Isu Belia Berisiko Tinggi pada peringkat komuniti B40 (Kumpulan isi rumah berpendapatan sehingga RM3,855.00), adalah satu projek penyelidikan yang dilaksanakan di kawasan kejiranan bagi mengumpul profil belia berisiko dan seterusnya melaksanakan program intervensi yang bersesuaian bagi membimbing belia yang terbabit dalam kes jenayah.

Definisi belia berisiko

Istilah belia berisiko merujuk sebagai belia yang mempunyai kumpulan, tinggal di kawasan setinggan atau flat, mempunyai ibu bapa tunggal, mengalami masalah ekonomi dan ketinggalan dalam pelajaran.

Kajian ini telah turut membantu dalam proses merangka strategi bagi membolehkan kelompok kejiranan mengatasi masalah belia berisiko tinggi di kawasan Wilayah Iskandar. Ia juga berjaya merungkai permasalahan golongan belia berisiko yang terbabit dengan isu jenayah, gengsterisme dan isu sosial.

Hasil dapatan data daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sehingga Julai 2015, mengenai pembabitan belia dalam jenayah berat sebanyak 66 peratus membabitkan belia yang berumur 15 hingga 30 tahun. Bagi jenayah harta benda adalah sebanyak 69 peratus belia terbabit dalam jenayah berkenaan.

Dapatan ini membuktikan bahawa isu jenayah sebahagian besar masih membabitkan kelompok belia. Menerusi kajian projek juga mendapati 18.3 peratus daripada jumlah responden adalah golongan belia yang keciciran daripada alam persekolahan. Perkara ini juga adalah satu daripada punca pembabitan belia dalam jenayah.

Kelompok belia ini yang dikesan menerusi Focus Group Discussion (FGD) yang dilaksanakan bersama pihak IYRES menyatakan bahawa antara punca mereka terbabit dalam jenayah adalah kerana mereka berasa bosan dengan sistem persekolahan yang wujud pada masa kini. Malah, ada segelintir daripada kelompok belia yang ditemubual dikesan lebih cenderung untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan yang memberi imbuhan kepada mereka.

Di kawasan Wilayah Iskandar, belia yang keciciran lebih cenderung untuk bekerja di Singapura kerana memberi pendapatan yang lumayan dan ia digelar sebagai 'Sindrom Singapura'. Bagi memastikan pembangunan ilmu dalam kalangan belia, maka pihak berkenaan malah masyarakat perlu mengenalpasti usaha yang harus dipertingkatkan ke arah mengembangkan ilmu pengetahuan. Perkara itu perlu mengambil kira pelbagai aspek agar mampu menjadi tunggak kepada pembangunan dan kemantapan generasi belia.

Seterusnya, menerusi usaha sama yang dijalankan bersama IRDA dan agensi kerajaan seperti Jabatan Belia dan Sukan Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara cadangan yang perlu bagi mengatasi isu belia berisiko tinggi adalah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu merangka strategi bagi mengatasi isu belia tercicir daripada alam pendidikan dengan mewujudkan aliran persekolahan khas yang lebih menjurus kepada bidang kemahiran.

Selain itu, perlu diwujudkan pelaksanaan program mentor-mentee pada peringkat kejiranan untuk menangani isu belia berisiko terutama belia di kawasan B40. Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) perlu mengkaji semula penstrukturan Kelab Rukun Tetangga (KRT) untuk membabitkan belia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Persekitaran berisiko

Pada dasarnya, belia berisiko adalah kelompok belia yang sentiasa terdedah kepada sebarang pembabitan dalam gejala sosial berpunca daripada persekitaran yang berisiko. Ia adalah seperti belia yang terdedah kepada aktiviti najis dadah, latar belakang masyarakat daripada taraf sosio ekonomi yang rendah, isu kemiskinan serta kelompok rakan sebaya yang datang dari masalah yang dibawa dari institusi kekeluargaan masing-masing.

Bertitik tolak daripada Indeks Belia Malaysia 2015, IYRES turut mencadangkan untuk menghasilkan Indeks Belia Johor (IBJ). Indeks ini akan dapat menjadi kayu pengukur kesejahteraan belia Negeri Johor terutama yang berkaitan dengan pelbagai perkara yang berkait rapat dengan domain yang terbabit dalam IBM.

Sebagai contoh Domain Pembangunan Kendiri, Identiti, Pendidikan, Hubungan Sosial Dalam Kalangan Belia Dengan Ibu Bapa/Keluarga, Rakan Dan Masyarakat serta yang berkaitan agar selaras dengan pencapaian KPI Nasional dalam mengukur pencapaian kesejahteraan hidup belia menjelang 2020.

 

Oleh Dr Wasitah Mohd Yusof,

Ketua Pegawai Eksekutif,

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Sumber : Berita Harian