Berita KBS - 12 Jun 2012

Himpunan Jutaan Belia Di Jenamakan Kepada Festival Belia Putrajaya

PUTRAJAYA, 31 Mei 2012- “Himpunan Jutaan Belia akan dijenamakan semula dan dikenali sebagai Festival Belia Putrajaya (Putrajaya Youth Festival) mulai tahun hadapan’” kata Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Menurut, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, cadangan tersebut telah dibincangkan dan diterima dengan baik dalam mesyuarat kabinet dan kerajaan percaya ianya mampu untuk menjenamakan himpunan itu ke satu tahap baru. “Selepas tiga tahun himpunan ini diadakan di Putrajaya dan berjaya menarik sebegitu ramai belia menyertainya, sudah sampai masanya ianya diberikan jenama yang lebih baik.

Tambah beliau lagi “penganjurannya kelak di bawah jenama baru ini akan mampu untuk menarik lebih ramai belia dan keluarga dengan lebih banyak acara dan aktiviti yang sesuai untuk diikuti dan dilaksana oleh semua golongan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Himpunan di Putrajaya anjuran Kementerian Belia dan Sukan bermula pada tahun 2010 dengan kehadiran lebih dua ratus ribu orang, sebelum menarik lebih sejuta belia di Himpunan Jutaan Belia tahun lepas.

Tahun ini Himpunan Jutaan Belia dari 23 hingga 27 Mei yang diadakan bersempena Hari Belia Negara diadakan dengan lebih 500 acara dalam 33 segmen, di sepanjang 6 kilometer Persiaran Perdana Putrajaya dan kawasan sekitarnya. Himpunan ini dipercayai sebagai salah satu daripada 10 acara terbesar yang dianjurkan di dunia.

Menurut Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek lagi, pihak Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan satu bengkel ataupun kolokium bagi membincangkan pelbagai cadangan dan juga teguran-teguran yang diberikan oleh pelbagai pihak.

Ini kerana menurutnya, walaupun tahun ini penganjurannya lebih baik daripada tahun-tahun lepas, namun masih terdapat ruang untuk diperbaiki bagi menjadikannya satu acara terbaik untuk belia dan keluarga.

“Kita akan bincangkan dan perbaiki aspek-aspek yang kurang sesuai dan menjadi asas teguran bagi menjadikan Putrajaya Youth Festival menjadi satu acara terbaik pernah dianjurkan,” ujar beliau.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih atas cadangan dan teguran-teguran membina yang telah diberikan oleh pelbagai pihak, kerana dengan teguran-teguran dan cadangan yang telah diberikan inilah menjadikan Himpunan Jutaan Belia 2012 satu kejayaan.

Disediakan oleh : Razali Mohamed Yassin (Unit Komunikasi Korporat, KBS)
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.


Print   Email