RM8.7b perangi dadah 2009

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RM8.7b perangi dadah 2009

Metro Harian

Putrajaya: Kerajaan membelanjakan RM8.654 bilion dalam usaha memerangi dadah pada 2009 yang sepatutnya diguna untuk tujuan lebih penting dan memanfaatkan semua rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata hasil kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mendapati kos itu merangkumi perbelanjaan agensi penguatkuasaan dan pemulihan berkaitan dadah, rawatan kesihatan, kehilangan produktiviti dan kos berkaitan jenayah.

 

Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Antidadah 2014 bertema ‘ADK Prihatin, Rakyat Sejahtera,’ semalam beliau berkata, statistik pada 2009 itu menunjukkan negara mempunyai 63,884 penagih dadah yang bermakna kos perkapita penagihan dadah di Malaysia ialah RM332.

“Sekiranya kos ini diguna untuk membina sekolah menengah kebangsaan yang boleh muatkan 1,200 pelajar, kerajaan berupaya menyediakan 216 sekolah dan 259,200 pelajar mendapat faedahnya. “Jika kita berjaya menangani masalah penyalahgunaan dadah secara bersama, sudah pasti kos seperti ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting dan memberi manfaat kepada semua rakyat. “Justeru, pada sambutan Hari Antidadah tahun ini, saya sarankan rakyat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, memberi perhatian kepada perasaan dan kehendak anak serta sentiasa berhubungan dengan mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif terutama ancaman dadah,” katanya. Kerajaan prihatin Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan masalah dadah yang selalunya berpunca daripada kepincangan institusi keluarga dan menggesa orang ramai memastikan keluarga mengamalkan kehidupan sejahtera, sekali gus menghindari anak atau orang yang disayangi terjebak masalah dadah.
Proses rawatan rumit Perdana Menteri juga berkata, penagihan dadah kalangan remaja turut dikaitkan dengan masalah ketagihan lain seperti alkohol dan seks, sekali gus menjadikan masalah bertambah kompleks dan proses rawatan serta pemulihan lebih rumit kerana memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi. “Saya juga meminta orang ramai supaya menjadi anggota masyarakat yang prihatin dengan menyertai sukarelawan antidadah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) yang dikenali sebagai SKUAD 1Malaysia untuk memberi bantuan kepada individu atau ahli keluarga yang mempunyai masalah dadah,” katanya. Beliau berkata, kerajaan menyokong penuh usaha sukarelawan seperti SKUAD 1Malaysia dan Sukarelawan Prihatin, yang sehingga kini mempunyai lebih 5.2 juta ahli di seluruh negara dengan 80.5 peratus adalah remaja serta belia berusia antara 15 hingga 39 tahun.