Saya pilih Argentina: Khairy

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Saya pilih Argentina: Khairy

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memilih untuk terus setia dan kekal menyokong skuad Argentina pada Piala Dunia kali ini. “Dari kecil lagi sampailah sekarang, saya menyokong Argentina,” katanya mengenai pasukan kegemarannya itu yang diletakkan dalam Kumpulan F bersama Bosnia, Iran dan Nigeria.

 Biarpun mengetahui kelemahan pasukan itu yang kadang kala bergantung pada seseorang pemain, Khairy tetap merasakan pasukan dari Amerika Selatan itu mempunyai potensi menjulang kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1986. “Kalau mereka bermain sebagai sebuah pasukan dan tak bergantung pada (Lionel) Messi saja, saya rasa mereka mempunyai peluang yang cerah,” katanya.
Harap Maradona
Mengimbas kembali detik kegemilangan Argentina ketika menjulang trofi itu pada 1986, Khairy berkata pasukan itu turut meletakkan sandaran kepada bintang yang juga legenda bola sepak, Diego Maradona.
“Saya ingat lagi ketika itu, mereka mengharapkan Maradona tetapi dalam masa yang sama mereka buktikan mereka adalah sebuah pasukan yang baik,” katanya. Khairy berkata dia akan menyaksikan perlawanan pembukaan Brazil menentang Croatia di Dataran Merdeka pada awal pagi esok sempena dengan program ‘Fiesta Samba Brasil 2014’. Program berkenaan dianjurkan kementeriannya bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan khusus untuk orang ramai di ibu negara menyaksikan perlawanan secara langsung di skrin besar. Selain menyaksikan siaran langsung berkenaan, pengunjung turut berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti sampingan yang disediakan. Program berkenaan diadakan bakal di seluruh negara kecuali Perak sepanjang kempen Piala Dunia 2014 berlangsung.