Penguatkuasaan tidak berkesan punca ramai remaja merokok - Khairy

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penguatkuasaan tidak berkesan punca ramai remaja merokok - Khairy

Oleh : Utusan Malaysia

SEREMBAN 17 Jun - Lambakan rokok seludup yang mudah dibeli oleh remaja bersekolah dari usia 15 hingga 18 tahun mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.

Semuanya berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan apabila beberapa kedai yang tidak mempunyai lesen sama ada di bandar mahupun luar bandar dengan mudah mendapat bekalan rokok seludup dan kemudiannya dijual dengan harga murah, sekali gus mempengaruhi remaja untuk merokok.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, trend tidak sihat itu cukup membimbangkan dan apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah dengan memperketatkan lagi penguatkuasaan bagi menghalang situasi berkenaan dari terus berlaku.

Katanya, apabila rokok dijual dengan harga murah dan mudah didapati, pastinya ia akan mendorong lebih ramai remaja untuk merokok.

"Penjualan rokok di kedai perlu diperketatkan supaya tidak dijual kepada remaja di bawah umur. Sebab kita tahu ada beberapa kedai dan warung yang tidak kisah langsung soal penjualan rokok kepada mereka yang di bawah umur.

"Keduanya dari segi penguatkuasaan dari segi pembanterasan rokok seludup sebab sehingga kini ia menjadi masalah dan saya difahamkan kerajaan mengalami kerugian berbilion ringgit akibat kegiatan penyeludupan ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kerjaya di Universiti Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselornya, Prof. Datuk Megat Burhanuddin Megat Ab. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp), Johan Mahmood Merican.

Khairy melahirkan kebimbangan itu selepas Kementerian Kesihatan mendedahkan semalam bahawa terdapat sekitar 500,000 remaja yang merokok di Malaysia, dengan membelanjakan jutaan ringgit membeli rokok setiap hari.

Jelas beliau, pihak kementerian boleh menjalankan sebarang aktiviti kesedaran terhadap bahaya merokok dalam kalangan remaja, namun tanpa penguatkuasaan yang berkesan sudah pastinya usaha menghindarkan remaja dari gejala tidak bermanfaat itu tidak membawa kepada sebarang perubahan.

Malah, katanya, Malaysia boleh dikategorikan sebagai negara yang lemah dalam aspek tahap penjagaan kesihatan dan ia dibuktikan menerusi kadar penyakit diabetis dan hipertensi tertinggi di rantau Asia.

Artikel Penuh:© Utusan Melayu (M) Bhd