Bantu Gen- Y sertai pasaran modal

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bantu Gen- Y sertai pasaran modal

 

Bursa Malaysia mengharapkan bantuan pelabur komuniti bagi melonjakkan penyertaan Generasi Y (Gen-Y), golongan yang lahir pada 1980-an dan awal 1990-an, dalam pasaran modal.  "Kami mempunyai cabaran yang saya mahu dapatkan bantuan anda untuk membantu memulihkan (ini). 

 

"Kebanyakan golongan belia, Gen-Y Malaysia, tidak menyertai pasaran, sama ada sebagai pelabur atau pilihan kerjaya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan dalam ucaptamanya pada Anugerah Perhubungan Pelabur (IR) Malaysia Ke-4, di Kuala Lumpur, semalam.  Beliau berkata, setakat ini bursa telah menyediakan beberapa inisiatif untuk membabitkan generasi muda dan mencetuskan minat mereka dalam pasaran modal.  Pada April tahun ini, ia memperkenalkan Bursa Marketplace, destinasi dalam talian dan komuniti bagi pelabur runcit untuk memperoleh maklumat tepat serta objektif tentang pasaran.  Bursa itu juga melancarkan Bursa Malaysia Fantasy Football Trader Challenge minggu lalu bagi membolehkan pelabur mengguna pemain Piala Dunia, untuk memahami dengan lebih baik penggunaan perkakas pelabur serta peniaga.  Tajuddin berkata, Malaysia memiliki bilangan kedua tertinggi peserta baharu menyertai bidang pekerjaan di dunia dalam kalangan pasaran global utama. 
Beliau percaya hanya dengan penyertaan generasi muda, kemapanan jangka panjang pasaran dapat dicapai.  "Kami ingin mempelawa anda menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk mendidik dan membangunkan pengetahuan Gen-Y beralih daripada menabung bagi masa depan, kepada melabur bagi masa depan," katanya.  Terdahulu, Tajuddin berkata, amalan terbaik IR boleh menyumbang kepada saham sesebuah syarikat mencapai nilai adil.  "Pengiktirafan yang akan diberikan kepada syarikat dan IR hari ini akan meningkatkan lagi kepentingan IR dalam operasi sesebuah syarikat," katanya. - BERNAMA