CORAK BAHARU PAKAIAN RASMI PASUKAN KEBANGSAAN LEBIH SEGAR, MENARIK, BERTENAGA DAN GARANG

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

CORAK BAHARU PAKAIAN RASMI PASUKAN KEBANGSAAN LEBIH SEGAR, MENARIK, BERTENAGA DAN GARANG

BUKIT JALIL, 26 JUN 2014 – “ Sudah tiba masanya untuk kita meniup nafas segar ke atas pakaian pasukan kebangsaan dengan harapan ia mampu memberi sokongan dan keyakinan kepada atlet-atlet yang menggalas harapan besar rakyat Malaysia ”, ujar Menteri Belia dan Sukan, YB. Encik Khairy Jamaluddin ketika merasmikan Majlis Pelancaran Corak Baharu Pakaian Rasmi Pasukan Kebangsaan yang diadakan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Tambah beliau, “ Pakaian pasukan kebangsaan ini memerlukan satu corak baharu yang lebih segar, lebih menarik, lebih bertenaga dan lebih garang seiring dengan nama yang dibawa iaitu harimau Malaysia ”.

Melinda Looi yang dipilih sebagai pereka untuk corak baharu ini adalah salah seorang pereka fesyen terkemuka di Malaysia yang telah memasarkan rekaannya di Malaysia, Eropah, Australia dan Timur Asia.  YB. Encik Khairy Jamaluddin berharap Melinda Looi membawa visi beliau sebagai seorang pereka busana ke sukan supaya dapat di terjemahkan visi tersebut dalam bentuk dan corak yang boleh mewakili negara kita di arena sukan.

 Menurutnya lagi, beliau juga begitu teliti dalam proses mereka cipta corak baharu ini dengan memberikan input dan pandangan kepada Melinda Looi agar jersi baru ini lebih menarik, lebih segar, lebih dinamik serta melambangkan sifat agresif dan bertenaga atlet-atlet negara apabila mereka menyarungkan jersi ini nanti. Pakaian dengan corak baharu ini akan dipanggil dan dikenali sebagai Malaysian Heroes ataupun Wira Malaysia.

Harapan beliau ialah iringan warna belang harimau pada pakaian ini mampu meniupkan ketangkasan, semangat juang dan daya ketahanan tinggi kepada atlet negara sekali gus menyaksikan atlet negara mempunyai semangat juang segarang binatang legenda di setiap temasya dan kejohanan yang disertai selepas ini

 Sambil berharap agar pakaian rasmi ini mendapat sokongan seluruh rakyat jelata sebagai tanda sokongan kepada atlet-atlet kita, ia akan menjadi simbol perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini di mana sesiapa sahaja boleh menyarung jersi yang sama dipakai atlet negara di bawah panji-panji jalur gemilang sekali gus membuktikan sukan merupakan platform yang terbaik dalam penyatuan rakyat.

Hadir sama dalam majlis ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Seri Zolkples Embong, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan KBS.

 

Oleh : Azlin Emiza Jamri (Unit Komunikasi Korporat KBS)

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Disunting : Razali Haji Mohamed Yassin (Unit Komunikasi Korporat KBS)

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.