Khairy sertai demonstrasi kutuk Israel

Khairy sertai demonstrasi kutuk Israel

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kesempatan berada di London digunakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk bersama-sama masyarakat di sana dalam satu demonstrasi mengutuk kekejaman Israel ke atas Palestin.

Melalui akaun Facebooknya, beliau menjelaskan sempat singgah di London ketika dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland bagi menyertai kontinjen negara di temasya Sukan Komanwel 2014 yang akan bermula beberapa hari lagi.

"Kebetulan hari ini ada perarakan besar untuk menyokong Gaza dan mengecam Israel.

"Saya juga telah sertai perarakan tersebut yang terdiri daripada ribuan orang pelbagai bangsa dan agama," katanya dalam satu posting semalam.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, kepelbagaian etnik dan agama dalam perarakan tersebut membuktikan isu Israel dan Palestin bukannya isu umat Islam semata-mata tetapi merupakan isu sejagat.

"Walaupun cuaca panas, semua peserta begitu bersemangat membawa mesej Free Palestine! Saya cukup kagum dengan masyarakat UK yang tidak kira Islam atau bukan Islam membanjiri jalan raya kota London," katanya.

Beliau turut memuat naik tiga gambar sekitar perarakan tersebut.

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd