Kenapa pilih kawan siber

Kenapa pilih kawan siber

Oleh : Mymetro

SHUHADA MANSOR faham kes penipuan membabitkan rakan dalam talian makin meningkat. Mungkin itu antara punca kita lebih berhati-hati dalam berkawan. Namun, bagi sesiapa yang mempunyai rakan baik di alam maya pasti mengakui ada kalanya golongan ini lebih memahami daripada rakan realiti.

Tersenyum atau ketawa seorang diri dalam dunia sekarang yang dikelilingi teknologi bukan lagi perkara aneh. Teknologi sedia ada menghubungkan kita dengan manusia lain di seluruh pelosok dunia. Dan disebabkan itu jugalah kita mempunyai rakan bukan saja di dalam negara sendiri, malah serata dunia walaupun hakikatnya jarak mereka jauh beribu-batu.

Golongan yang sering dikaitkan dengan alam maya sudah tentulah generasi Y. Sebagai anak muda, kita lebih suka mencari maklumat sendiri selain dari apa yang diajar di sekolah atau kuliah. Landasan terbaik pastinya Internet yang menghidangkan pelbagai maklumat tidak kira berkaitan kehidupan, isu dunia, masalah, kesihatan dan sebagainya. Internet digambarkan sebagai ‘dunia tanpa sempadan’ menghubungkan kita dengan sesiapa saja. Wujudnya landasan ini membolehkan kita mengenali kawan baru selain mengembangkan hubungan sosial seluruh dunia. Persoalannya, apakah tarikan kawan alam maya berbanding realiti hinggakan ada di antara kita sanggup berkurung di dalam bilik ‘menghadap’ komputer selama berjam-jam tanpa jemu.

Artikel ini akan mengupas beberapa sebab kawan alam maya menjadi pilihan berbanding dunia nyata.

Bebas pilih Banyak artikel berkaitan kes dan kesan negatif berkaitan media sosial kita ketahui, namun tidak ada satu pun yang mampu mempengaruhi persahabatan anda dengan kawan alam maya. Di sini, kita bebas memilih sesiapa saja untuk berkawan. Seronoknya tentang kawan online ialah tidak terhad, sesiapa saja boleh jadi kawan dan yang penting jika pergi ke sesuatu tempat, yang bermain di fikiran hanyalah telefon pintar atau komputer riba. Mencari kawasan yang mempunyai spot ‘wifi’ adalah keutamaan kita berbanding dunia luar yang menyesakkan.Selalunya, rakan siber tak mudah berkecil hati atau terasa hati. Contohnya, hanya dengan memberitahu mereka kita sibuk dengan kerja harian hingga tiada masa untuk melayari Internet pastinya tidak memberi kesan emosi kepada mereka. Jujur dan terus terang pastinya lebih mudah selain mereka dikatakan berfikiran lebih terbuka.
Ada pada bila-bila masa Isu yang sering kita hadapi dalam persahabatan adalah komitmen. Jika setiap orang memahami konsep ini mungkin tidak akan wujud sebarang masalah, namun ada antaranya dianggap kawan hanya pada masa tertentu. Realitinya, kawan di dunia sebenar tidak selalunya ada dengan kita 24 jam. Berbeza dengan rakan atas talian, mereka sentiasa ada pada bila-bila masa apatah lagi jika mereka ‘gila’ melayari Internet sama seperti anda. Berkawan dengan golongan ini tidak perlukan masa tertentu kerana boleh berborak panjang tanpa mengira masa. Apatah lagi jika kawan itu tinggal di zon masa berbeza dengan anda, pastilah dia mampu menemani kita bersembang sekiranya tidak boleh tidur sepanjang malam. Mungkin saudara atau kawan yang mengenali kenalan anda yang lain sukar untuk simpan rahsia, tetapi lain kisahnya dengan kawan atas talian. Kita boleh berkongsi dan bercerita tentang apa saja. Ramai mengakui alam siber lebih berkesan untuk membuat pengakuan berbanding bersua muka. Di sini, kita bebas mengadu, menagih simpati dengan kawan baik walaupun realitinya tidak pernah bertemu. Ringkasnya, ia lebih mudah dan jimat kos daripada berjumpa dengan pakar terapi.
Tak perlu berpakaian cantik Antara faktor utama remaja gemar memilih rakan karib dalam talian disebabkan kita tidak perlu hipokrit dan lebih penting tidak perlu berpakaian cantik setiap masa. Bertemu dengan kawan di dunia sebenar memerlukan kita bersiap selain masa yang cukup untuk berdandan. Berlainan dengan kawan di alam maya, pastinya tidak perlukan semua itu. Hanya berpakaian baju tidur atau lebih malas jika anda tidak mandi sepanjang hari bukanlah menjadi masalah. Tiada siapa akan bising dengan penampilan anda apatah lagi tidak perlu bersusah payah keluar rumah hanya untuk berborak kosong. Internet memudahkan hidup kita, apa sahaja ada di Internet. Nak cari kawan baru, resipi, fesyen terkini, sebutlah apa saja pasti akan kita temui. Tiada pihak boleh menghalang penyebaran maklumat, segalanya bergantung kepada kesedaran sendiri. Gunakan sebaiknya untuk mempelajari sesuatu atau mengenali seseorang yang banyak memberi tunjuk ajar walaupun anda tidak pernah berjumpa dengannya. Pilih yang terbaik kerana ia membantu pembangunan jati diri kita.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12