KBS SEDIAKAN PLATFORM UNTUK BELIA BUMIPUTERA TAMBAH NILAI KEUSAHAWANAN

FPEB

KBS SEDIAKAN PLATFORM UNTUK BELIA BUMIPUTERA TAMBAH NILAI KEUSAHAWANAN

Oleh : Muhammad Ariff Mat Jusoh
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

PUTRAJAYA, 21 Ogos 2014 – Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) melalui Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (UPEB) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah mengadakan Forum Pemerkasaan Ekonomi Belia Bumiputera bertempat di Dewan Podium, Menara KBS Putrajaya.

Forum ini telah dirasmikan oleh YB. Menteri Belia dan Sukan, En. Khairy Jamaluddin. Beliau dalam ucapan perasmiannya menggesa usahawan bumiputera agar lebih kreatif dalam sesuatu bidang yang diusahakannya dengan mencari peluang perniagaan yang lebih luas dan bukan hanya bergantung kepada tender-tender yang diberikan oleh pihak kerajaan sahaja. Seru beliau lagi, para usahawan belia haruslah menjalankan penyelidikannya tersendiri dalam memahami apakah keperluan industri masa kini yang boleh diketengahkan untuk menjadikan para usahawan lebih berdaya maju.

Pelasanaan program ini bertujuan menghimpunkan usahawan belia yang sedang menjalankan perniagaan agar mereka mendapat pendedahan maklumat berhubung kemudahan serta peluang pembiayaan perniagaan pada masa kini.

Seramai 209 orang peserta telah menyertai program ini yang berlatarbelakangkan usahawan Melayu belia bumiputera dalam pelbagai bidang keusahawanan.

Sejumlah enam sesi pembentangan kertas kerja telah dibentangkan oleh panel jemputan yang mencakupi sesi perkongsian usahawan bumiputera berjaya, pembiayaan perniagaan, kaedah mendapatkan kontrak kerajaan, peluang usahawan mendapatkan ruang niaga di pasar raya besar, peluang menjadi vendor kepada syarikat multinasional dan perkongsian kejayaan Penerima Geran Skim Permulaan Usahawan Bumiputera.

Forum tersebut juga telah berjaya menarik 20 orang usahawan bumiputera bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing sempena program tersebut.

KBS melalui penganjuran program ini mengharapkan golongan usahawan belia dapat memahami penerangan dan penjelasan mengenai langkah untuk menjadi usahawan yang berjaya dan dapat memperluaskan lagi perniagaan dan produk daripada mikro hingga ke tahap Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta boleh menjadi syarikat induk dan berpeluang menjadi Vendor.

Turut hadir semasa sesi perasmiannya ialah YBhg. Datuk Jamil Salleh, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato' Harun Che Su, Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KBS, dan Pegawai-pegawai Kanan KBS.

Disunting oleh: Shariffah Mamat

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.