BAJET 2015: HASRAT BELIA MILIKI KEDIAMAN MELALUI SKIM PERUMAHAN BELIA

skim-perumahan

Astro Awani | Kemas kini: Oktober 10, 2014

Kerap kali, golongan belia di negara ini menyuarakan kebimbangan mereka tentang kemampuan pemilikan rumah yang seiring dengan keperluan asas setelah berkerjaya dan seterusnya membina  keluarga yang sejahtera. Dalam pembentangan Bajet 2015, di bawah strategi membangun Program Transformasi Belia Negara, akses kepada pinjaman perumahan (rumah pertama) dipermudahkan melalui Skim Perumahan Belia secara perkongsian pintar antara kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas. Syarat kelayakan bagi pinjaman tersebut adalah had pembiayaan rumah pertama bernilai tidak melebihi RM500 ribu, berusia antara 25 hingga 40 tahun, telah berkahwin, pendapatan isi rumah RM10 ribu dan ke bawah, serta tempoh pembiayaan maksimum 35 tahun. Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak, turut menggariskan manfaat pembiayaan itu dalam pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini. Antara manfaat yang diumumkan ialah pemberian RM200 sebulan oleh Kerajaan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman, pengecualian 50 peratus duti setem ke atas suratcara pindah milik dan perjanjian pinjaman. "Lebih menarik, Kerajaan turut menyediakan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh termasuk kos insuran. Peminjam juga boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 2 KWSP mereka untuk menampung pembayaran ansuran bulanan dan kos lain yang berkaitan," ujar Najib. Peluang itu perlu direbut oleh belia kerana ditawarkan secara 'first come first served basis' untuk 20,000 unit rumah sahaja.

Read more at: http://www.astroawani.com