Gelagat pertama Ahli Parlimen Belia berbahas Sabtu ini .

AKHIRNYA pada Sabtu dan Ahad ini di Dewan Rakyat, persidangan pertama Parlimen Belia Malaysia (PBM) direalisasikan dengan sejumlah 120 anggotanya akan terlibat dalam sesi perbahasan dan penggulungan

Bagaimana agaknya ragam dan gelagat ahli-ahli Parlimen Belia ini bercakap, mencelah dan bersoal jawab? Adakah sama seperti ahli-ahli Parlimen yang dipilih rakyat melalui pilihan raya?

Setiap negeri mempunyai kuota ahli PBM berdasarkan taburan populasi belia setempat yang mana kuota setiap negeri adalah 1:100,000. Untuk pemilihan tahun lalu, kuota berdasarkan taburan populasi belia pada 2012. 

Antaranya, sejumlah 25 ahli PBM dari Selangor yang mempunyai belia teramai iaitu 2.27 juta orang, 14 dari Johor (1.37 juta belia), 11 dari Sabah (1.42 juta), 10 dari Sarawak (1.01 juta) selain pecahan-pecahan dari setiap negeri.

Sebenarnya, perancangan pelaksanaan PBM telah bermula awal tahun 2011, seterusnya Persidangan Parlimen Percubaan dilaksanakan pada 2012 bagi melihat kesesuaian format pelaksanaan program. Masa agak lama digunakan untuk memantapkan pelaksanaan PBM dengan mewujudkan Sistem e-PBM yang bertujuan mendaftarkan pemilih ahli PBM sebelum melaksanakan proses pencalonan dan pemilihan ahli PBM, yang sistemnya telah diaudit dan disahkan kredibilitinya.

Sebagai penganjur, Kementerian Belia dan Sukan yang diketuai Khairy Jamaluddin telah ambil maklum terdapat 33 negara lain yang turut melaksanakan Parlimen Belia. Model Parlimen Belia Australia dan United Kingdom dijadikan panduan dalam merangka pelaksanaan PBM.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan PBM lebih memberi fokus dan disesuaikan dengan senario belia Malaysia.

Apakah yang boleh diharapkan kerajaan daripada wakil PBM? Pihak kerajaan yakin bahawa wakil

PBM mampu membawa suara belia di peringkat akar umbi kepada pihak kerajaan untuk diambil tindakan yang sewajarnya. Idea dan pandangan APBM mampu menyumbang kepada pihak kerajaan untuk merangka program Pembangunan belia yang bersesuaian. Selain itu, ahli PBM mempunyai kualiti sebagai pemimpin dan boleh digilap potensinya untuk menjadi pemimpin pelapis.

Bagaimana pula dengan isu yang akan dibincangkan? Ahli-ahli PBM akan masing-masing ditempatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa, antaranya Sosio Ekonomi, Hubungan Antarabangsa Dan Diplomatik, Keselamatan, Undang-Undang Dan Integriti, Pembangunan Dan Alam Sekitar serta Pembangunan Masyarakat Dan Kesihatan.

Jawatankuasa-jawatankuasa itu akan mengenal pasti isu berkenaan dengan topik jawatankuasa mereka dan mengangkat isu tersebut sebagai usul dalam perbahasan. Sekretariat tidak mengekang ahli-ahli parlimen belia dalam perbahasan mereka sekiranya ia dalam perbatasan topik jawatankuasa mereka. Sudah tentu isu-isu yang dibawa akan berpaksikan isu yang dihadapi oleh belia.Bagi Khairy, PBM suatu platform terbaik belia menyuarakan idea dan isu-isu yang berkaitan dengan mereka.

“Saya juga telah berjanji bahawa usul yang dipersetujui akan dibawa ke Jemaah Menteri dan kalau usul tersebut mempunyai intipati yang benar-benar sesuai, saya yakin usul-usul ini akan diterima dan digunapakai oleh kerajaan.

“Ahli-ahli Parlimen Belia ini dipilih oleh generasi muda Malaysia tanpa sebarang unsur penipuan. “Oleh itu, menjadi harapan utama saya agar mereka menggunakan peluang ini untuk membawa suara dan keinginan anak muda Malaysia, dan bukan hanya kepentingan peribadi,” kata Khairy.

Berita Selanjutnya :: http://www.utusan.com.my