TAKLIMAT KEMAJUAN GERAK KERJA PERSIAPAN ICYL 2015 OLEH IYRES

PUTRAJAYA, 22 JANUARI 2015 –Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah melaksanakan sesi taklimat kemajuan gerak kerja bersama YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia,  Encik Khairy Jamaluddin berhubung keusahawanan sosial bersempena program International Conference For Young Leaders (ICYL) ‘Changing Communities Through Social Entrepreneurship yang bakal berlangsung pada bulan Mac 2015 nanti.

Tujuan utama IYRES mengadakan sesi taklimat kemajuan gerak kerja ini adalah untuk melaporkan gerak kerja dan status kemajuan pelaksanaan Persidangan (ICYL) kepada YB Menteri beserta maklumbalas dan tindakan selanjutnya dalam menjalankan gerak kerja bagi menjayakan konferen antarabangsa (ICYL) yang bakal diadakan pada bulan Mac 2015 nanti.

Sesi taklimat ini juga telah dihadiri oleh wakil-wakil dari bahagian dalaman KBS sendiri dan pemegang taruh seperti MaGIC, iM4u, tandemic, UPM, MySkills Malaysia dan beberapa agensi lain yang bakal terlibat bersama dalam persidangan (ICYL) pada 19 hingga 21 Mac 2015 akan datang.

 Konferen ini merupakan sebuah forum unik kerana bakal menghimpunkan pemimpin-pemimpin muda kebangsaan dan serantau dalam ruang perbincangan intelektual secara tahunan. Program ini juga menjadi pemangkin dalam usaha Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai kesedaran untuk membawa perubahan yang positif kepada masyarakat di samping mewujudkan peluang dan ruang bagi peningkatan penglibatan belia Malaysia dalam bidang keusahawanan sosial.

 

Pengisian program akan dilaksanakan selama tiga hari melibatkan 200 peserta tempatan dan 100 peserta antarabangsa merangkumi sesi konferen,  pameran yang melibatkan pelbagai tokoh serta organisasi keusahawanan sosial dan perniagaan sosial dari seluruh dunia.

Selain itu, tujuan sesi taklimat ini adalah untuk mengumpul cadangan dan pandangan di peringkat kementerian dan pemegang taruh di samping mewujudkan  smart networking partnership bagi mewarwarkan pelaksanaan konferen antarabangsa ini.

Penglibatan pelbagai pihak bagi sesi taklimat kemajuan gerak kerja bersama YB Menteri berkaitan pelaksanaan konferen antarabangsa (ICYL) tersebut diharapkan dapat membantu kelancaran kementerian dan semua pihak yang terlibat dalam usaha menjayakannya.

Oleh : Mohd.Farhan Hazwan Bin Ismail
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Disunting oleh : Lizza Imelia M. Sulanah , Unit Komunikasi Korporat
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.