HOSPITAL SIBU SASAR BELIA ANJUR KEMPEN DERMA DARAH

SIBU: Hospital Sibu menyasarkan untuk menjadikan golongan belia sebagai penganjur muda dalam kempen derma darah bagi meningkatkan jumlah penderma dan memastikan bekalan darah di hospital itu mencukupi.

Pengarah hospital itu, Dr Ngian Hie Ung berkata, ini kerana golongan belia yang aktif mempunyai pengaruh terhadap rakan sebaya mereka sekali gus dapat menarik ramai dalam kalangan mereka untuk menderma darah.

"Usaha ini boleh dimulakan di peringkat sekolah menengah di mana sudah ada sekolah dan pusat pengajian tinggi yang melakukan kempen derma darah dengan berterusan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart di sini mempunyai rekod yang baik apabila mengadakan kempen seumpama itu sebanyak tiga kali setahun secara berterusan.

"Ini adalah sesuatu yang amat memberangsangkan pada masa akan datang. Bagaimanapun, buat masa ini kami belum mempunyai kumpulan belia yang tetap bagi memulakan program khas dalam kalangan belia itu," katanya.

Mereka yang boleh menderma darah hendaklah sekurang-kurangnya berusia 17 tahun dan sihat tubuh badan, katanya.

Dr Ngian berkata, pada tahun lepas, Hospital Sibu menerima sebanyak 8,686 pain darah daripada 5,520 penderma melalui kempen yang dijalankan oleh agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Beliau berkata bekalan darah di bank darah hospital itu ada kalanya tidak mencukupi kerana perlu dibekalkan kepada hospital-hospital di Kanowit, Sarikei, Mukah dan Kapit.

"Sekiranya ramai penderma darah atau penderma yang berdaftar itu menderma dua kali setahun, kita yakin akan dapat memperoleh lebih 10,000 pain darah yang akan mencukupi bagi kegunaan hospital ini dan hospital lain di kawasan tengah Sarawak," katanya.

Bagi menggalakkan orang ramai menderma darah, Hospital Sibu turut menganjurkan beberapa program antaranya majlis penghargaan derma darah bersama Persatuan Bulan Sabit Merah serta bengkel untuk penganjur kempen pada Mei ini.

"Kita akan tekankan tentang pendermaan darah yang selamat iaitu bebas daripada penyakit, menggalakkan orang ramai menderma darah secara sukarela dan menyedarkan mereka bahawa darah bukan untuk dijual beli," katanya.

Selain itu, hospital itu juga akan mengadakan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun ini. - BERNAMA