KBS BANTU KERAJAAN SABAH LAHIRKAN INDEKS BELIA SABAH 2014

Kota Kinabalu, 26 Februari 2015 – Penyediaan Indeks Belia Malaysia 2015 (IBM’15) kini melangkah ke fasa baru. Ini memandangkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) sedang berusaha melahirkan Indeks Belia Sabah 2014 (IBS’14) sebagai aktiviti subset kepada Kajian IBM’15. Projek khas ini dapat dilaksanakan berdasarkan persetujuan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk membantu Negeri Sabah mempunyai  indeks belianya yang tersendiri. Sehubungan dengan itu, satu pembentangan Laporan Interim Kajian Indeks Belia Sabah 2014 telah diadakan bertempat di Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS). Pembentangan tersebut yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr. Wasitah Hj. Mohd Yusof, kepada Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Tawfiq Bin Datuk Haji Abu Bakar Titingan. Turut dihadiri oleh Yang Berhormat Masiung Banah (Pembantu Menteri KBSS), Datuk Suzannah Liaw (Setiausaha Tetap), dan Hj. Ag. Damit bin Ag. Anak (Timbalan Setiausaha Tetap). Selain itu, turut hadir mendengar pembentangan dapatan awal kajian adalah Pegawai –Pegawai Penyelaras Daerah, wakil dari Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah dan Majlis Belia Sabah.

Sesi pembentangan ini adalah untuk melaporkan dapatan awal kajian ke atas populasi belia Sabah di 25 daerah serta mendapatkan maklum balas/pandangan serta penambahbaikan dari pihak KBSS dan JBS Sabah bagi laporan akhir Kajian IBS’14. Tempoh pelaksanaan bagi membangunkan IBS’14 telah bermula Januari 2014 melibatkan proses technical work, kerja lapangan di 25 buah daerah di Sabah serta penulisan laporan bersama pakar rujuk IBS’14 dan pihak KBSS.

Satu taklimat secara ringkas juga telah diadakan terlebih dahulu kepada Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Encik Khairy Jamaluddin dan juga Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Bin Salleh berkenaan dapatan awal kajian ini.

Terdapat sejumlah 12 domain IBS 2014 yang merangkumi pembangunan kendiri, hubungan sosial, identiti, potensi diri, waktu senggang, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi, tingkah laku devian,  kesejahteraan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sosialisasi politik. Kesemua domain ini diperihalkan dengan lebih mendalam melalui 57 indikator yang telah dibangunkan oleh pakar.

Disediakan oleh: Rozahidah Roslee

Disunting oleh: Dr. Wasitah Hj. Mohd Yusof & Puan Mastura Mohamad