PM galak belia ceburi keusahawanan sosial

 

UTUSAN ONLINE : KAMIL MASLIH  |  20 Mac 2015

KUALA LUMPUR 19 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan sosial bagi menyumbang kepada keseimbangan sosio ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, perjalanan Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi tidak akan lengkap tanpa model ekonomi yang dapat memberi impak sosial.

“Mengubah masyarakat melalui keusahawanan sosial adalah sesuatu yang boleh dilakukan dan diukur pencapaiannya, perkara ini bukan hanya untuk mencipta kekayaan semata-mata tetapi mencipta kekayaan yang dapat dikongsi dengan komuniti selain menyumbang kepada ekonomi yang mampan.

“Selain itu, golongan yang terpinggir dalam arus ekonomi juga akan mendapat peluang menerusi keusahawanan sosial dan ini akan menyumbang kepada perkembangan positif dalam kebahagiaan masyarakat, kesihatan, keselamatan dan gaya hidup sihat,” katanya ketika berucap merasmikan Persida­ngan Antarabangsa Pemimpin Muda (ICYL) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah Harapan yang terdiri daripada usahawan-usahawan sosial yang berjaya meraih kejayaan dalam bidang perniagaan dan menyumbang kepada komuniti.

 

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Menurut Perdana Menteri, komitmen kerajaan dalam menja­yakan bidang keusahawanan sosial telah dibuktikan menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah disalurkan kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) pada tahun 2013.

Jelas beliau, dengan kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, beliau akan mengangkat agenda keusahawanan sosial di peringkat rantau ini dan memperbanyakkan lagi aktiviti.

“Konsep keusahawanan sosial masih lagi baharu di Malaysia tetapi kita sudah ada beberapa contoh usahawan, mereka berjaya melihat peluang dan bukannya masalah dan mereka berjaya mengaplikasikan perniagaan untuk membentuk masyarakat yang lebih saksama.

“Saya percaya golongan muda yang mempunyai impian untuk mengubah dunia akan menggunakan model ke­usahawanan sosial bagi memberi impak positif dalam isu kemasyarakatan dan alam sekitar,” katanya.

 

- See more at: http://www.utusan.com.my