PERSIDANGAN ANTARABANGSA PEMIMPIN MUDA (ICYL 2015): KEUSAHAWANAN SOSIAL MENJANA PERUBAHAN KOMUNITI

PWTC, KUALA LUMPUR 19–21 Mac 2015 - Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda (ICYL 2015) yang bertemakan “Keusahawanan Sosial Menjana perubahan Komuniti”. Program tersebut telah diadakan bertujuan untuk membincangkan senario semasa mengenai keusahawanan sosial sebagai satu pemangkin dalam usaha KBS melahirkan generasi muda yang mempunyai kesedaran untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

 Seramai 385 peserta belia dari sekitar negara ASEAN dan tempatan terdiri daripada individu, organisasi, agensi, badan korporat yang terlibat dengan keusahawanan sosial, belia dari NGO, mahasiswa IPTA dan IPTS yang berkecimpung dalam keusahawanan sosial serta mempunyai pendidikan keusahawanan sosial, persatuan belia dan lain-lain pemegang taruh di Malaysia telah menyertai program yang diadakan selama 3 hari ini.

 Antara kandungan persidangan ialah siri ucaptama dan perasmian yang akan diterajui oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh pembentang dari dalam negeri dan luar negeri iaitu antaranya ialah Prof.  Dean Dr. S. Karlan (Universiti YALE, US), En. Jose Luis Oquinena (Filipina), Ms. Jaya Myler (Singapura) dan lain-lain. Malah pihak Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) yang pada masa ini berperanan sebagai pemandu kepada perkembangan keusahawanan sosial dan terlibat memperjelaskan mengenai hala tuju dan visi keusahawanan sosial dalam kalangan belia di Malaysia.

 Kaedah perkongsian pengalaman dengan industry player dalam negara juga telah dilaksanakan. Sebanyak 6 pilihan topik bagi bengkel-bengkel selari ditawarkan kepada para belia disertai oleh Scope Group Malaysia, Genovasi Malaysia, Social Enterprise Alliance (SEA), MyHarapan, Myskills Foundation, dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

ICYL 2015 telah memberi perhatian dan penghargaan istimewa kepada gologan belia yang terlibat dalam menyumbang idea mahupun tenaga kepada usaha pembangunan belia di Malaysia dalam konteks Keusahawanan Sosial. Anugerah ini adalah Anugerah Tunas Harapan atau Hope Awards yang telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri. Anugerah ini dinilai menerusi 7 kategori iaitu ‘Education & Employability’, ‘Civic Action & Human Rights’, ‘Environmental Conservation & Sustainability’, ‘Arts, Culture & Heritage’, Less is More’, Poverty Alleviation’ dan ‘Youth-Friendly Company of The Year’. Penilaian terhadap anugerah ini telah dilaksanakan oleh pihak IYRES dengan kerjasama MyHARAPAN.

Malah peserta yang terlibat dengan ICYL 2015 juga berpeluang menyebarluaskan jalinan hubungan di antara satu sama lain dalam Majlis Networking Session yang diadakan pada malam hari pertama program tersebut.

 Di samping itu, ICYL 2015 ini juga memberi laluan kepada usahawan sosial dari seluruh Malaysia untuk menonjolkan bakat serta mengenengahkan perniagaan yang dijalankan menerusi booth-booth pameran yang disediakan. Pelbagai booth telah dibuka dengan pelbagai jenis jualan seperti makanan-makanan unik, barangan unik, bank yang menawarkan pinjaman khusus untuk usahawan sosial, beberapa organisasi yang menawarkan khidmat konsultansi berkenaan usahawan sosial dan pelbagai lagi.

Disediakan oleh :  Nadya Shaffinaz Bajuri 

Disunting oleh : Mastura bt. Mohamad